KUALA LUMPUR: Selepas empat tahun memegang status duda, pengacara dan penyampai radio Era FM, Haniff Hamzah, 38, belum bersedia menjalinkan hubungan cinta, sekali gus menolak hidup berpasangan, buat masa ini.

Bagi Haniff, perceraian berlaku bukan disebabkan dirinya mahu berseronok mencari wanita lain.

“Ini adalah tahun keempat saya hidup bersendirian. Jadi, sekarang bukan soal bersedia mahu berkahwin lagi atau sebaliknya, tetapi saya sudah menetapkan pendirian tidak berkahwin atau mencari pasangan hidup dalam masa yang terdekat.

“Maksudnya, saya belum mahu ke arah mencari jodoh. Ia bukanlah serik, tetapi saya mahu memberikan masa untuk fokus pada kerjaya dan perniagaan.

“Jika ada pasangan, banyak perkara lain yang kena fikir. Antara benda yang ada dalam kepala adalah mungkin tunggu anak-anak besar dan perniagaan lebih maju.

“Namun, saya akan terima sekiranya ditakdirkan bertemu jodoh yang sesuai. Namun, buat masa ini, saya tidak terdesak mahu cari pasangan,” katanya kepada BH Online.

Haniff memaklumkan hubungannya dengan bekas isteri tetap baik dan tidak pernah berkelahi soal anak-anak. Malah, diberikan waktu fleksibel untuk bertemu dengan cahaya matanya.

Justeru, Haniff berkata, tiada apa lagi yang mahu dikejarkan melainkan kebahagiaan diri.

Dalam masa sama, Haniff berterima kasih kepada pihak media yang memberikan ruang dan memahaminya ketika berdepan dengan isu perceraian.

Bagaimanapun, Haniff berkata, dia kini lebih terbuka berkongsi episod perceraian yang berlaku pada 2018 itu.

“Pada awal perceraian, saya memang tidak mahu berkongsi. Ini kerana saya tidak mahu nama disebut-sebut disebabkan isu perceraian.

“Memang waktu itu saya tidak mahu jawab langsung. Saya tidak mahu nama saya terkait cerita panas.

“Itu juga antara keputusan kenapa saya tidak mahu pergi sesi kaunseling kerana saya tidak selesa berkongsi.

“Namun, selepas berpisah, saya sudah memahami apa itu sesi kaunseling selepas menghadirinya selama beberapa kali. Jujurnya, ia sangat membantu ,” katanya.

Hubungan Haniff bersama bekas isteri tetap baik dan tidak pernah berkelahi soal dua cahaya matanya, Tuah dan Jebat. - Foto IG Haniff Hamzah
Hubungan Haniff bersama bekas isteri tetap baik dan tidak pernah berkelahi soal dua cahaya matanya, Tuah dan Jebat. – Foto IG Haniff Hamzah

Haniff yang juga bapa kepada dua cahaya mata ditemui ketika mengacarakan sidang media single baharu Janna Nick, Gatal di The Bee, Publika, baru-baru ini.

Haniff tidak menafikan, dia lebih bahagia dan positif, bagaimanapun bukanlah bermaksud menggalakkan orang ramai untuk memilih perceraian sebagai penyelesaian masalah.

“Saya selalu pandang positif dan tabik kepada rakan yang masih berpasangan. Sebab saya tahu ada naik dan turun dalam perkahwinan.

“Namun, saya percaya situasi suami dan isteri sekarang bukan seperti dahulu. Daripada pasangan tidak gembira dan hidup dalam keadaan tidak seronok, lebih baik berpisah.

“Bagi saya, kita kena kejar kegembiraan. Namun, apa yang saya katakan ini bukan bermaksud menggalakkan bercerai.

“Maksud saya daripada menerima hakikat salah seorang tidak gembira dalam perkahwinan, lebih baik berpisah dan cari kebahagiaan lain,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sebelum ambil keputusan berpisah, kena usaha untuk menyelamatkan rumah tangga.

“Sudah tentu saya juga berusaha selama beberapa bulan, tetapi gagal. Jadi, selepas itu barulah kami bersetuju untuk berpisah. Jadi, perpisahan ini adalah keputusan bersama,” katanya.

Haniff mendirikan rumah tangga dengan Wan Katherina pada 12 Jun 2010 dan bercerai pada 2018. Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Tuah Kaliff, 9, dan Jebat Kaliff, 8.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *