Tahun Harimau disifatkan simbolik kepada sifat berani, berdaya saing dan berkeyakinan, namun tindakan sukar diduga. Semangat itu juga yang dipinjam Sean dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19.
Tahun lalu, sambutan Tahun Baharu Cina diraikan dalam suasana suram dan terbatas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun, berbeza kali ini atas kelonggaran diberikan kerajaan, Sean akhirnya dapat kembali menyambut Tahun Harimau bersama insan tersayang.
“Sejujurnya, saya tidak sabar meraikan sambutan Tahun Baharu Cina kerana dapat berkumpul keluarga dan sanak saudara.
“Tahun lalu, kami hanya bertemu menerusi aplikasi Zoom sahaja, jadi, suasana berbeza berbanding tahun ini. Pun begitu, timbul kebimbangan berikutan situasi semasa COVID-19.l
“Jadi, dalam bergembira, kenalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya kepada BH Online.
Dalam keterujaan berkumpul bersama insan tersayang, pelakon drama rantaian popular, Sweet Dream dan 7 Hari Mencintaiku 2 itu mengakui, timbul rasa sedih dalam hati terkenang mendiang nenek yang meninggal dunia akibat sakit tua sejak dua tahun lalu.
Berkongsi lanjut, imbau lelaki berusia 27 tahun ini, perkara paling dirindui mengenai mendiang nenek adalah air tangannya ketika menyajikan juadah bagi acara makan besar.
“Nenek meninggal dunia akibat sakit tua. Walaupun dua tahun tiada, tetapi kami tetap merinduinya. Biasanya, mendiang paling sibuk memasak hidangan sempena makan besar. Menu paling saya gemari adalah cendawan goreng.
“Selain itu, mendiang adalah seorang ‘vegetarian’. Jadi, setiap hidangan disajikan berasaskan sayur-sayuran. Namun, anak-anak dan cucunya penggemar daging, jadi mendiang mencipta resipi ayam yang bahannya diperbuat daripada sayur.
“Walaupun kita tahu ayam ‘palsu’, tetapi kami tetap menyukainya kerana rasa dan tekstur sama seperti daging,” katanya.
Sean atau nama sebenarnya, Sean Lee Jia Ern ini berkata, dia juga mahu meminjam semangat Tahun Harimau dalam menghadapi cabaran era pandemik.
“Kita tahu harimau mempunyai semangat kental. Pasukan bola sepak negara juga menggunakan nama haiwan itu sebagai simbolik semangat perjuangan.
“Untuk tahun ini, saya mahu memperlahankan kerjaya seni kerana mahu meluangkan masa bersama keluarga. Pengalaman kehilangan ahli keluarga dan teman membuatkan saya rasa kehidupan cukup rapuh.
“Tidak guna sibuk mengejar duit, tetapi akhirnya tidak mempunyai masa bersama insan tersayang. Keputusan ini akan menyebabkan saya banyak kehilangan tawaran kerja.
“Justeru, saya mahu pinjam semangat harimau untuk tabah dan kental dalam menghadapi cabaran bakal ditempuh,” ungkap pengacara I Can Ssee Your Voice Malaysia dan MBuzz ini.
Kredit: Berita Harian