KUALA LUMPUR: Perkenalan menerusi aplikasi mencari jodoh lebih setahun lalu membuka pintu hati naib juara program realiti, Vokal Bukan Sekadar Rupa musim pertama, Mafarikha untuk kembali mendirikan rumah tangga

Selepas tiga tahun bercerai, Mafarikha atau nama sebenarnya, Mafarikha Akhir, 29, selamat diijabkabulkan dengan jejaka pilihan hati yang juga seorang kakitangan syarikat swasta, Muhammad Zariq Noorulyusaa, 28, di Seri Iskandar, Perak pada Jumaat lalu.

“Kami berkenalan secara dalam talian, lebih setahun lalu. Hanya selepas lima bulan mengenali hati budi, barulah kami membawa hubungan ini ke fasa yang lebih serius.

“Alhamdulillah, kami selamat diijabkabulkan di pejabat agama Seri Iskandar, Perak pada Jumaat lalu. Kami diraikan dalam majlis resepsi di kediaman keluarga saya pada keesokan harinya.

“Pada pertengahan bulan ini, satu lagi majlis resepsi akan diadakan oleh pihak lelaki di Putrajaya,” katanya kepada BH Online.

Pada majlis itu, penyanyi lagu Tiba dan Jujur Saja Sayang ini menerima lima dulang hantaran berbalas tujuh serta mas kahwin sebanyak RM1,000.

Bagaimanapun, jumlah wang hantaran tidak dinyatakan.

Mafarikha trauma sebelum memutuskan untuk kembali bergelar isteri selepas perkahwinan pertamanya runtuh di tengah jalan. - Foto IG Mafarikha
Mafarikha trauma sebelum memutuskan untuk kembali bergelar isteri selepas perkahwinan pertamanya runtuh di tengah jalan. – Foto IG Mafarikha

Sebagai wanita yang pernah melalui episod duka apabila mahligai dibina runtuh di pertengahan jalan, Mafarikha yang juga bekas peserta program realiti, Lagu Cinta Kita musim kedua berkata, dia sedikit trauma sebelum memutuskan untuk kembali bergelar isteri.

“Hanya status janda, saya sering dihakimi apabila ada yang menganggap saya menjadi punca perceraian. Situasi ini membuatkan saya rasa ragu dan bimbang untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki.

“Namun, kehadiran Muhammad Zariq mengubah pendirian saya. Di awal perkenalan, saya tidak sorok status saya.

“Suami dan keluarga mentua menerima saya dengan baik. Malah, sifat suami yang ringan tulang dan pandai menambat hati orang tua membuka pintu hati saya untuk menerimanya,” ujarnya yang juga seorang jurusolek profesional ini.

Mengenai perancangan menimang cahaya mata, penyanyi yang pernah mendapat pujian juri program Asia’s Got Talent iaitu David Foster, Anggun C Sasmi dan Jay Park ketika menyertai rancangan itu lima tahun lalu berkata, hasratnya itu terpaksa ditangguhkan kerana mahu fokus dengan kerjaya seni yang baru hendak bermula kembali.

“Saya akui kerjaya seni agak tenggelam timbul. Jadi, nampak gayanya tahun ini memang tidak boleh nak rancang ada cahaya mata lagi kerana saya mahu fokus pada kerjaya nyanyian dan solekan.

“Saya kini dalam proses untuk menyiapkan lagu baharu. Saya ada juga memperdengarkan melodi lagu ini pada Datuk M Nasir dan memuji karya ini.

“Insya-Allah, saya akan cuba untuk menyiapkan lagu ini secepat mungkin dan berharap dapat diterima ramai selepas dilancarkan nanti,” luahnya.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *