KUALA LUMPUR: Segala-galanya bagai asing buat penyanyi Suki Low, 32. Kembali semula selepas sedekad ‘betapa’ nyata lanskap dunia ‘showbiz’ sudah jauh meninggalkannya.
Paling ketara, media sosial bukan sahaja menjadi kayu pengukur populariti seseorang artis, malah, menjadi platform buat warga netizen meluahkan segala perasaan terbuku di hati termasuk kecaman terbuka terhadap mereka bergelar selebriti.
Meskipun bersikap terbuka dan memahami permainan dunia siber hari ini, Suki atau nama sebenarnya, Low Sook Yee mengharapkan, warga netizen lebih bertimbang rasa dalam menzahirkan pandangan.
“Era dunia tanpa sempadan yang dihadapi hari ini secara tidak langsung membenarkan setiap orang meluahkan pendapat secara terbuka. Saya taklah takut dengan komen dilemparkan, cuma, kalau boleh biarlah ditulis secara berhemah.
“Walaupun menyokong hak kebebasan bersuara, tetapi, janganlah kita salah guna keistimewaan untuk menulis komen yang boleh membuatkan seseorang terasa hati.
“Sejujurnya, saya membaca komen netizen yang cuba membanding-bandingkan saya dengan penyanyi lain. Perbuatan seperti ini membuatkan saya kekok dan segan.
“Tak rugi jika kita tulis benda yang baik-baik. Saya sendiri sangat menghargai setiap kritikan membina diberikan. Teguran dibuat secara positif secara tidak langsung membuatkan rasa lebih bersemangat memperbaiki kelemahan,” katanya kepada BH Online.
Sepanjang enam tahun berada dalam belantara muzik sebelum memperlahankan pecutan kerjaya seni, juara program realiti One In A Million musim pertama itu pernah terkena tempias kontroversi hingga mencalarkan reputasi.
Pelbagai gosip panas mengiringi kerjaya seni Suki yang ketika itu masih berusia 16 tahun.
Kini, selepas 10 tahun hidup tenang menguruskan keluarga dan menjalankan perniagaan sendiri, Suki terpaksa menerima hakikat yang gerak-geri serta apa sahaja dilakukan pasti kembali menjadi perhatian masyarakat.
Mengakui sudah bersedia berdepan dengan cabaran itu, pemenang trofi Bintang Harapan, Anugerah Industri Muzik Ke-15 (AIM15) ini percaya, pengalaman masa lalu menjadi benteng buatnya lebih berhati-hati.
“Menjalani kehidupan seharian memberi saya peluang mempelajari banyak perkara. Begitu juga dengan pengalaman silam. Semua ini adalah satu proses pembelajaran yang menjadikan saya lebih matang.
“Sebagai ibu yang mempunyai tiga cahaya mata yang semakin membesar, sudah tentu saya mahu menunjukkan contoh yang terbaik. Anak sulung, Ethan kini berusia 8 tahun dan sudah boleh membaca.
“Saya tidak mahu Ethan membaca perkara buruk mengenai ibunya. Sebelum berlaku, saya akan cuba mengelak untuk terpalit dalam apa juga situasi yang boleh mengaitkan saya dengan kontroversi.
“Jika saya ada tersalah kata atau perbuatan, sila tegur saya. Saya boleh terima,” luah penyanyi yang cukup popular menerusi lagu Terlalu Menyintaimu ini.
Kemunculan Suki sebagai peserta program Gegar Vaganza musim kelapan berjaya membuatkan namanya kembali mewangi dan jadi sebutan peminat.
Lebih mengagumkan Suki mempamerkan persembahan konsisten hingga berjaya ke peringkat akhir, seterusnya menduduki tempat ketiga sepanjang 10 minggu berada dalam program realiti itu.
Enggan menyifatkan kemunculannya sebagai ‘comeback’, Suki sebaliknya kini ingin kembali merancakkan kerjaya seni dengan penjenamaan baharu.
“Saya tak pernah anggap ini adalah satu ‘comeback’ kerana macam-macam pernah saya lalui sepanjang berada dalam GV8. Apa yang boleh disimpulkan, kehadiran saya adalah satu pengenalan kepada Suki baharu.
“Banyak perkara sudah dirancang untuk 2022 ini. Lebih menggembirakan, ada syarikat rakaman sudah melamar saya,” dedah penyanyi yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini.
Ditanya apakah syarat diletakkan suami apabila memutuskan kembali aktif, Suki berkata, suaminya menyokong apa sahaja yang disifatkan terbaik untuk isterinya.
“Suami sangat ‘cool’ orangnya. Selama ini, suami hanya menemani saya dan tidak pernah mengganggu urusan kerja, apatah lagi, nak letakkan sebarang syarat.
“Namun, sebagai isteri, saya akan cuba mendapatkan pandangannya dalam apa juga keputusan yang hendak dibuat,” ungkap Suki.
Suki mendirikan rumah tangga dengan pengurusnya yang juga eksekutif muzik, Jeremy Ching pada Disember 2012. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Ethan, 8, Eli, 7, dan Arween, 11 bulan.
Walaupun tidak aktif, namun, Suki tetap mengikuti perkembangan dunia hiburan tanah air dan cukup mengagumi bakat penyanyi generasi baharu seperti Naim Daniel, Aina Abdul, Stacy dan Khai Bahar.
Selain sibuk menguruskan keluarga, Suki juga menjalankan perniagaan menjual kek dan menggubah bunga.
Kredit: Berita Harian