KEMAMPUAN vokal penyanyi Vanessa Reynauld tidak disangkal antara yang cukup hebat.

Jika menyampaikan lagu balada bernada tinggi, Vanessa antara pendatang baharu yang mampu memukau pendengar dengan nyanyiannya.

Namun, Vanessa ternyata tercabar apabila menyanyikan lagu baharunya berjudul Buat Ku Sempurna ciptaan Faizal Tahir dan Mage.

Hakikatnya, pengalaman menyanyikan lagu itu membuatkan dia tersentak bahawa banyak lagi harus dipelajarinya untuk menjadi penyanyi genre balada yang unggul.

Perkara itu diakuinya selepas menempuh sendiri pengalaman melunaskan lagu yang baginya sarat mendalam komposisinya itu.

Tidak pernah terlintas dalam fikirannya bahawa dia akan bergelut dan berlatih banyak kali untuk sempurna sebuah lagu.

“Sebenarnya bila dengar nyanyian demo Faizal untuk lagu ini, nyanyiannya kedengaran begitu senang. Tetapi, apabila giliran saya untuk menyanyikannya, susah gila! Lagu ini ada turun naiknya dan sangat teknikal.

“Daripada suara dada kepada suara kepala, tiba-tiba tukar sana sini. Lagu ini sangat susah sebenarnya dan pernafasan adalah paling penting. Saya turut berdepan kesukaran untuk menyuntik ‘feel’ terbaik kerana perlu titikberatkan teknik, perasaan dan agak sulit mulanya.

“Selepas berlatih banyak kali, barulah saya dapat rentak itu. Akhirnya dapat juga kami rakamkannya sebagaimana yang kami mahukan. Secara peribadi, lagu ini agak asing untuk saya dan berbeza dengan lagu-lagu terdahulu saya atau lagu yang dibawakan dalam pertandingan.

“Lagu sebelum ini banyak kepada balada biasa yang sudah sebati penyampaiannya dalam nyanyian saya. Buat Ku Sempurna memang sangat berbeza dan saya tak pernah bergelut untuk nyanyikan melodi balada sebegini. Ia tidak dinafikan lagu paling susah pernah saya nyanyian setakat ini,” katanya.

Keputusan menyanyikan Buat Ku Sempurna dibuat pantas Vanessa tanpa sebarang keraguan.

Dia akui tidak perlu pun ulang banyak kali mendengarnya kerana sekali dengar, dia terus sukakannya kerana melodi dan struktur lagunya sangat unik.

“Apabila mendengarnya, saya memang nak sangat nyanyi lagu ini tanpa wujud sebutir keraguan. Lagu ini mengisahkan seseorang yang berada dalam sebuah perhubungan dan dia sudah melakukan kesilapan.

“Pasangannya tidak dapat memaafkannya kerana kesilapan itu terlalu besar. Maka, mereka tidak mampu kembali kepada corak hidup terdahulu sebelum kesilapan itu berlaku. Memang agak mendalam juga lagu ini,” katanya.

Apapun, Vanessa turut mengakui ada cabaran lain yang perlu dikuasainya demi memastikan hasil akhir lagu ini disempurnakan dengan jayanya.

Dia harus keluar dari kepompong cara nyanyian kebiasaannya dalam melunaskan lagu balada.

“Lagu ini berat kepada saluran emosi dan penyampaiannya kena disampaikan dengan penuh kelembutan. Itu yang sebenarnya menjadi cabaran besar buat saya kerana kebiasaannya, saya buka mulut nyanyi saja, terus tembak pada nota tinggi. Untuk lagu ini, pengawalan perlu berhati-hati dan jaga rapi transisi suara.

“Semestinya saya berharap ramai akan sukakan lagu ini dan menerimanya dengan hati terbuka. Paling penting, semoga keseluruhan lagu mampu berkait dengan kisah orang ramai. Kita semua pasti pernah menempuh pengalaman berbeza mengenai kehidupan. Saya harap sangat ia mampu sampai ke dalam hati dan menyentuh sanubari pendengar,” katanya.

Vanessa yang cukup terkenal selepas menyertai program The Masked Singer Malaysia (TMSM) sebelum ini, turut menjadi satu daripada barisan juri All Together Now Malaysia (ATNM). Memiliki vokal yang sememangnya cukup hebat, dia sudah menghasilkan beberapa lagu termasuk Putus dan Rindu Separuh Nyawa duet bersama Naqiu.

Pencapaian lagu Rindu Separuh Nyawa itu jelas membanggakan apabila berjaya ke Separuh Akhir Muzik Muzik 36 (SFMM36). Dalam tempoh tiga bulan, lagu ini telah mencapai platinum dari hasil jualan strim digital selain drama Rindu Separuh Nyawa yang menggunakan lagu itu sebagai runut bunyi, berjaya mengungguli carta drama 2021.

Buat Ku Sempurna sudah boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.

kreadit : HARIAN METRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *