KUALA LUMPUR: “Saya tetap sedih walaupun memfailkan perceraian itu.”
Demikian luahan aktres jelita, Siti Saleha selepas sah bercerai talak satu dengan suaminya, Ahmad Lutfi Azhar dalam prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor, semalam.
Berkongsi perasaan ketika ini, pemenang trofi Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 ini mengaku sebagai manusia biasa, bukan mudah untuknya menerima hakikat keruntuhan rumah tangga.
“Saya hanyalah manusia biasa… Perceraian bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya hadapi.
“Kebetulan pagi semalam, saya mendapat perkhabaran datuk yang menetap di United Kingdom (UK) meninggal dunia akibat serangan jantung.
“Kemudian bekas suami pula lafazkan talak. Bermakna ada dua berita duka yang saya terima, semalam.
“Walaupun sedih kerana pengakhiran perkahwinan kami tidak seperti yang diharapkan, saya reda dan anggap tiada jodoh antara kami,” katanya ketika dihubungi BH Online.
Biarpun bukan lagi suami isteri, Saleha berkata, tidak bermakna mereka perlu bermusuhan.
“Walaupun sudah tidak lagi hidup bersama, kami masih boleh berkawan baik. Saya tetap ada untuknya pada bila-bila masa jika diperlukan.
“Tidak perlu hendak dendam. Lagipun, kami bercerai cara baik… Doakan saja yang baik-baik untuk kami,” pinta pelakon drama rantaian 7 Hari Mencintaiku ini.
Ditanya apakah dia sudah bersedia dengan gelaran janda yang mungkin memberi persepsi negatif, Saleha enggan ambil peduli dengan kata-kata nakal itu.
“Saya tahu ada segelintir orang memiliki mentaliti seperti itu. Saya tak ambil kisah apa orang nak kata.
“Bagi saya, tiada yang buruk dengan gelaran janda. Apa yang penting, hidup kita bahagia. Tidak perlu hendak rasa takut dengan status janda hingga terpaksa berpura-pura bahagia,” tegas kakak kepada penyanyi Sam Bunkface ini.
Diusik soalan apakah reaksi dirinya jika ada lelaki yang mahu menagih kasih selepas kembali solo, Saleha berkata, soal jodoh bukan lagi agenda utamanya sekarang.
“Apabila baca komen pengikut di media sosial, ramai yang hendak ajak saya bercinta. Tetapi mereka gunakan nama Mia iaitu watak saya dalam drama bersiri 7 Hari Mencintaiku.
“Lucu apabila mereka cuba ‘cucuk jarum’. Buat masa ini, saya tidak fikir langsung soal berpacaran. Fokus saya adalah hanya untuk bekerja,” katanya yang sibuk di lokasi penggambaran musim ketiga drama 7 Hari Mencintaiku.
Pada 13 Oktober tahun lalu, Saleha mengesahkan dia sudah memfailkan perceraian terhadap Ahmad Lutfi atas kebenaran mahkamah.
Berita keretakan rumah tangga mereka agak mengejutkan apabila aktres berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu tidak pernah berkongsi mengenai masalah peribadi secara terbuka di media sosial atau media massa.
Saleha dan Ahmad Lutfi melangsungkan pernikahan pada 28 Julai 2017 dan tidak dikurniakan cahaya mata.
Kredit: Berita Harian