BAD dan Ashira ketika menerima sumbangan daripada Koperasi Petronas Berhad (Kopetro), baru-baru ini.

WALAUPUN diduga dengan pelbagai ujian, namun penyanyi, Bad Indigo tetap menguatkan mentalnya dan terus berfikiran positif untuk memastikan dia dan keluarganya dapat meneruskan kehidupan.

Selepas kehilangan jari kakinya akibat kencing manis, Bad yang kini memegang kad orang kelainan upaya (OKU) menganggap setiap yang berlaku adalah anugerah dan rezeki buatnya.

“Ini rezeki saya. Semuanya Allah sudah susun. Apa yang jadi adalah anugerah dan ujian untuk menjadikan kita manusia yang lebih baik,” katanya.

Berkesempatan bertemu Bad bersama isterinya yang juga penyanyi, Ashira Aziz baru-baru ini, Bad berkata, dia dikurniakan anugerah oleh Allah apabila dijodohkan dengan Ashira.

“Allah dah susun untuk saya kenal dia dan berumah tangga dengannya. Kami berdua diuji dengan ujian besar. Bukan kami saja, bahkan juga ibu saya, kakak saya, semuanya diuji. Namun, saya sebagai orang yang kena musibah ini perlu sentiasa berfikiran positif dan tak boleh melemahkan semangat mereka yang lain,” katanya

Menurut Bad, dia cuba sedaya upaya untuk berdikari dalam melakukan aktiviti hariannya.

“Kerana itu, saya selalu beritahu Ashira bahawa saya akan cuba untuk berdikari dan buat sendiri banyak perkara. Kalau tak boleh sangat, barulah saya minta bantuan dia. Kalau setakat nak memasak masakan mudah, tak jadi masalah. Cumanya, untuk bawa makanan ke meja yang akan ada sedikit masalah sebab saya perlu berjalan menggunakan ‘walker’ kerana hanya sebelah kaki yang boleh digunakan.

“Saya tahu, ada kalanya Ashira perlu keluar bekerja dan sebab itu saya belajar untuk lakukan aktiviti harian dengan kudrat sendiri,” katanya.

Hilang punca pendapatan akibat keadaan kesihatan dan kehadiran pandemik Covid-19, Bad sentiasa bersyukur kerana rezekinya sekeluarga tidak pernah putus.

“Sebagai manusia, kita kena ingat bahawa apa sahaja yang datang dalam hidup kita, ada sebab dan hikmahnya. Apa yang kita ada semuanya milik Allah. Tapi, dalam pada Dia menurunkan ujian, Dia takkan susahkan kita sebab Allah tak pernah kejam kepada hamba-Nya. Jadi, kita kena terima dengan positif.

“Saya akui, saya tak ada punca pendapatan sebab tak boleh bekerja. Tapi, orang sekeliling sentiasa berikan aura positif, antaranya rakan-rakan. Ada sekali, Datuk Seri Vida datang bertandang ke rumah kami dan berborak sehingga jam 3 pagi. Dia banyak berikan idea bagaimana untuk mencari pendapatan dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, sehingga hari ini dia tidak pernah memohon sebarang bantuan kerana ingin cuba mencari rezeki menggunakan kudratnya sendiri.

“Saya memang takkan dipanggil untuk membuat persembahan nyanyian, tapi saya masih mencuba untuk mencari sumber pendapatan lain. Setakat ini, saya belum minta wang bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebab saya masih nak cuba cari sendiri.

“Kepada anda di luar sana, saya minta ambil iktibar daripada cerita saya ini dari sudut positif. Seburuk mana pun ujian yang menimpa kita, cuba untuk husnuzon,” katanya.

Terbaharu, Bad baru sahaja merakamkan single solonya berjudul Dibuai Mimpi ciptaan Achi Nasution.

“Lagu ini adalah lagu solo ciptaan Achi dan menjadi lagu pertama yang mana liriknya ditulis oleh saya sendiri. Ini adalah percubaan pertama untuk saya merakamkan lagu secara solo. Cabarannya adalah ketika sesi rakaman. Sekarang baharu saya tahu bahawa kekurangan yang ada pada saya memberi kesan kepada kemampuan nyanyian.

“Selama ini, kalau menyanyi atau rakamkan lagu, saya rakamkan secara berdiri. Apabila perlu menyanyi secara duduk, memang ia tak semudah yang disangka,” katanya.

KREADIT : HARIAN METRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *