KUALA LUMPUR: Biarpun melancarkan filem dokumentari Siti : Are You Ready? ketika negara berdepan musibah banjir, bukanlah bermakna penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza, tidak peka.

Prihatin dengan nasib mangsa banjir, Siti akan menyalurkan kutipan awal tayangan filem dokumentari itu kepada individu yang terkesan dengan bencana alam itu.

“Tayangan perdana dianjurkan kerana jadual dan komitmen ini sudah dipersetujui awal. Saya tahu kerjasama ini membabitkan banyak pihak, namun, saya dan Penerbit Eksekutif, Shirazdeen Kareem prihatin dengan situasi semasa.

Prihatin dengan nasib mangsa banjir, Siti akan menyalurkan kutipan awal tayangan filem dokumentari itu kepada individu yang terkesan dengan bencana alam itu. Foto IG Siti Nurhaliza
Prihatin dengan nasib mangsa banjir, Siti akan menyalurkan kutipan awal tayangan filem dokumentari itu kepada individu yang terkesan dengan bencana alam itu. Foto IG Siti Nurhaliza

“Disebabkan itu, kutipan awal untuk Siti : Are You Ready? akan dihulurkan kepada mangsa banjir,” katanya ketika berucap pada pelancaran tayangan Siti : Are You Ready? di Dadi Cinema, Pavilion di ibu negara, Rabu lalu.

Filem dokumentari yang diarahkan M Azhar Rot dan Anz Izwan itu menampilkan kisah di belakang tabir sepanjang berlangsungnya siri jelajah, Dato’ Sri Siti Nurhaliza On Tour di tiga negara iaitu Indonesia, Singapura dan Malaysia pada 2019.

Mengulas lanjut mengenai filem dokumentari berdurasi 80 minit itu, Siti memberitahu produk itu ibarat ringkasan dirinya sebagai seorang penyanyi, ibu dan isteri.

“Kalau mahu diikutkan, banyak momen yang mahu kita kongsi. Tetapi dari 72 jam, ditapis menjadi 80 minit.

“Saya lihat ini antara momen yang paling istimewa yang diabadikan. Saya sudah buat sesuatu dengan penuh kasih sayang dan cinta terhadap seni.

“Apa yang penting saya disokong insan hebat dalam hidup saya hingga dapat menjayakan konsert ini,” katanya.

Siti berkata, dokumentari itu juga mahu membuktikan kepada masyarakat bahawa fungsi penyanyi bukan sekadar menghiburkan.

“Saya hendak sangat masyarakat lihat filem dokumentari ini sebagai sesuatu memberikan inspirasi, bukan sahaja kepada anak-anak seni generasi muda, malah wanita bergelar ibu,” katanya.

Melalui dokumentari terbitan Shiraz Projects dan Siti Nurhaliza Productions itu, penonton dapat melihat sisi Siti yang jarang diperlihatkan iaitu dalam kelembutan, terselindung ketegasan.

Sikap itu diperlihatkan apabila Siti dan pasukannya berdepan konflik bagi menjayakan konsert pertamanya di Jakarta, Indonesia.

“Ada lagi kisah yang tidak dimasukkan kerana agak sensitif. Namun, akhirnya menjadi suatu yang positif buat kami.

“Apa yang kami inginkan adalah membuat persembahan yang terbaik dan lancar. Konflik itu terjadi apabila kami mahu menjalankan konsert pertama di Jakarta.

“Kami mahu buat konsert besar dengan tanggungjawab yang sangat besar. Pasukan sudah kerja keras tapi masalah terjadi, apa yang kita boleh buat.

“Namun, jika ada perancangan yang betul dan teliti… Insya-Allah semuanya lancar,” katanya.

Siti berkata, siri jelajah itu memberi pengajaran kepada dirinya dan pasukan.

“Kami merasai dan melalui pelbagai cabaran. Mungkin selepas ini Shiraz akan lebih peka dan berhati-hati dalam bekerja… Kita semua belajar daripada pengalaman,” katanya.

Siti menganggap pengalaman diraih dalam siri jelajah itu sangat istimewa baginya yang sudah dua dekad menjadi anak seni.

“Saya tidak sangka semua ini dapat difilemkan peminat sendiri. Mereka sangat berpotensi dalam kerja pengarahan. Saya doakan selepas ini ada lagi anak seni yang boleh muncul dalam filem dokumentari.

“Ia boleh menjadi khazanah dan rujukan kepada anak-anak muda yang mahu berjaya… Insya-Allah,” katanya.

Filem dokumentari, Siti Are You Ready? dan Konsert Dato’ Sri Siti Nurhaliza On Tour – Live In Concert boleh ditonton di saluran Astro First mulai 30 Disember ini.

Dengan hanya RM19.90, peminat boleh menonton kedua-dua filem dokumentari dan konsert selama 48 jam secara berulang-ulang.

Bagi mereka yang berada di luar Malaysia dan Brunei, boleh melanggan di platform Vimeo On Demand bermula 30 Disember ini pada harga RM20.96 (AS$4.99) serta boleh ditonton selama 48 jam berulang-ulang.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *