KUALA LUMPUR: Bintang ‘senior’ Liza Abdullah membuktikan keampuhan dalam dunia lakonan apabila mengungguli kategori Pelakon Antagonis Terbaik, Anugerah Drama Sangat (ADS) 2021, Sabtu lalu.
Mengulangi kejayaan pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, bulan lalu, Liza yang memegang watak Mak Leha dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2, bersyukur dirinya masih relevan biarpun sudah empat dekad jadi anak seni.
“Terima kasih kepada peminat dan juri yang percaya bakat saya walaupun sudah empat dekad dalam bidang ini. Insya-Allah, selagi diperlukan, saya akan terus berlakon,” katanya kepada BH Online.
Liza berkata, biarpun meraih trofi atas watak antagonis, dia enggan terus kekal dengan karakter sama.
“Biarpun menang kategori watak antagonis, tidak bermakna saya kekal dengan karakter itu.
“Sebagai pelakon, saya mahu dikenali dengan kebolehan membawa pelbagai watak dimahukan pengarah,” katanya.
Liza yang memulakan langkah dalam dunia seni sebagai penyanyi pada 1984, membintangi banyak filem ‘box office’ era 1980-an seperti Ali Setan, Pagar Pagar Cinta, Jejaka Perasan dan Tujuh Biang Keladi.
Pada ABPH 34, Liza memusnahkan impian empat calon muda lain iaitu Hannah Delisha yang membintangi drama Cinta Sekali Lagi; Fify Azmi (Ryan Aralyn), Ashraf Muslim (Ada Apa Dengan Dosa) dan Ain Edruce (Camelia).
Kredit: Berita Harian