KUALA LUMPUR: Program tiga bulan, Art In The City (AITC) 2021 anjuran Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA), Oktober lalu berjaya menambah 2,500 peluang pekerjaan kepada bakat kreatif tempatan.

AITC 2021 ditutup Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa di REXKL di ibu negara, Selasa lalu.

Pada majlis itu, Annuar dalam ucapannya berkata, industri kreatif merangkumi multimedia, seni budaya dan warisan menjadi semakin penting, bukan sahaja sebagai sumber hiburan dan pembangunan budaya, malah, berpotensi menjadi penyumbang pertumbuhan ekonomi negara.

Sehubungan itu, kata Annuar, kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) mengiktiraf sektor kreatif sebagai salah satu industri strategik dan berimpak tinggi yang diberi tumpuan khusus.DISYORKAN UNTUK ANDA

“Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengiktiraf kepentingan peranan seni dan budaya untuk negara, bukan saja dari aspek ekonomi, malah perspektif kemanusiaan.

“Pemulihan dan pembinaan semula aktiviti seni budaya negara secara tidak langsung dapat mengubati jiwa negara dan Keluarga Malaysia yang terkesan dengan pelbagai cabaran susulan COVID-19.

“Sehubungan itu, KKMM mempelawa komuniti seni untuk bekerjasama dengan kementerian melalui Pasukan Petugas Kreatif bagi mewujudkan ekosistem yang sistematik supaya industri kreatif negara dapat terus berkembang luas,” katanya.

Sementara itu, CENDANA dalam kenyataannya menyebut, penganjuran edisi ketiga AITC 2021 yang menjadi acara tahunan CENDANA berjaya mencapai kejayaan signifikan meskipun terpaksa beradaptasi dengan norma baharu.

Melalui sokongan, kerjasama dan komitmen 54 rakan usaha sama yang terbabit, AITC 2021 menampilkan pelbagai inisiatif seperti penganjuran Forum Ekonomi Kreatif Kuala Lumpur, pengenalan Studio C di Pameran Seni Hotel CIMB, Kelas Seni Terbuka, bengkel Potongan Cukai Korporat dan pelancaran kerjasama TripART.

Turut dianjurkan festival KLWKND, instalasi cahaya The Light Project, SENSORii, Simposium NCC50 dan banyak lagi pembangunan industri seni budaya demi memacu taraf ekonomi komuniti tempatan.

REXKL dipilih sebagai lokasi Pameran Media Seni Sensorium of Inversion/Immersion (SENSORii) yang menutup tirai AITC 2021 dan akan berlangsung sehingga 28 Disember ini.

SENSORii adalah pameran seni media yang menampilkan bakat karya seni artis multimedia tempatan seperti Lim Kok Yoong & KC Tan, Wee Jia Foong, FLUX 28 dan Ashly Nandong dan Azarikh Amran serta iringan muzik yang digubah oleh Ahmad Muriz Che Rose.

Dikendalikan kurator tersohor bertaraf antarabangsa, Yap Sau Bin manakala bahagian teknikal diterajui oleh Melissa Teoh, SENSORii mengungkap realiti kehidupan seharian kota dalam konteks urban, selain tempat dan persekitaran yang didiami serta ruang yang dihuni dengan teknik artistik dan kepelbagaian teknologi.

Kenyataan itu menambah, CENDANA akan terus mengungguli inisiatif memacu ekonomi seni budaya Malaysia dan berusaha menjadikan negara ini sebagai destinasi seni budaya serantau.

Ini amat penting dalam menyokong usaha kerajaan untuk membuka semula kemasukan pelancong, meningkatkan profil ahli seni tempatan dan mempromosi bakat komuniti industri ini.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *