KUALA LUMPUR: ‘Kaulah satu satunya, di antara berjuta, insan teristimewa, patah tak tumbuh lagi, hilang belum berganti, kerana kau tersendiri, kau kebanggaan kita, kau budayawan bangsa, engkau legenda…’

Seperti bait lirik lagu Legenda nyanyian Datuk Sheila Majid hasil cetusan rasanya, begitulah diibaratkan kedudukan wanita istimewa ini dalam industri muzik.

Meskipun kehadiran dalam persada seni hiburan hanyalah di balik tabir, namun peranan yang dimainkannya cukup besar terutama dunia penerbitan dan muzik.

Pernah menghasilkan karya hebat seperti Hati Bukan Kristal, Soal Hati, Soalnya Siapa? Qaisy dan Laila serta drama rantaian popular, Rumah Kecil Tiang Seribu dan Adam dan Hawa, namun, figura bernama Datuk Habsah Hassan, 72, lebih menonjol dalam dunia penulisan lirik.

Dan kebanyakan komposer yang pernah bekerjasama dengannya bukanlah calang-calang. Antaranya, Ooi Eow Jin, Allahyarham A Ali, Manan Ngah, Fauzi Marzuki, Saari Amri, Ajai, Aubrey Suwito dan Ross Ariffin.

Malah, barisan penyanyi yang pernah menyanyikan lagu yang lirik hasil nukilan Habsah kebanyakannya terdiri daripada penyanyi hebat seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Sheila Majid, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Azlina Aziz, Francissca Peter, Jay Jay, Ella, Fauziah Latiff, Erra Fazira, Aishah, Anuar Zain dan ramai lagi.

Boleh dikatakan setiap lirik tulisannya bagaikan lesen untuk seseorang penyanyi menjadi popular dan terbaik. Bukan omongan kosong, namun, kenyataan itu dibuktikan apabila kebanyakan lagunya pasti menjadi siulan pendengar dan sering diputarkan di corong radio.

Lebih membanggakan, Habsah atau lebih mesra disapa Kak Chah menjadi penulis lirik wanita pertama yang dinobatkan pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu 1987 menerusi lagu Menaruh Harapan nyanyian Zaiton Sameon.

Namun, untuk berada pada kedudukannya itu, wanita peramah ini mengakui, ia bukan sesuatu yang boleh dicapai dengan mudah.

Habsah menerima trofi daripada Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Rafiq Razali; Pengurus Besar, Pemasaran, Komunikasi dan Sokongan Jualan, The New Straits Times Press (NSTP) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 34, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman. - Foto NSTP
Habsah menerima trofi daripada Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Rafiq Razali; Pengurus Besar, Pemasaran, Komunikasi dan Sokongan Jualan, The New Straits Times Press (NSTP) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 34, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman. – Foto NSTP

Paling penting, katanya, kena ada minat dan memiliki jiwa yang sensitif dalam berkarya.

“Saya suka bercerita dan apabila mendengar sesebuah lagu, saya akan melihat seni kata. Bagi saya, lirik lagu umpama sebuah karangan.

“Perlu ada pembukaan, pertengahan dan penutup. Paling penting, berkarya kena ada jiwa agar pendengar boleh merasakan mesej atau maksud yang hendak disampaikan. Dan, bukankah sekadar kata-kata sahaja,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Tun Dr Ismail, baru-baru ini.

Pesannya, selain minat, karya juga memerlukan keikhlasan kerana penghargaan atau ganjaran tetap akan datang apabila tiba masanya nanti.

“Dahulu bayaran bukanlah satu isu. Saya pernah dibayar murah, RM40. Royalti pun tiada pada masa itu, malah, pernah juga komposer menggunakan nama sendiri walaupun lirik adalah hasil penat lelah saya.

“Tetapi, saya tidak kisah kerana memang suka menghasilkan lirik disebabkan minat,” ujarnya.

Mungkin menulis nampak mudah, namun, bagi wanita kelahiran Kota Singa ini, ia tetap mempunyai cabaran tersendiri.

“Paling sukar apabila ada komposer memberikan tajuk terlebih dahulu, kemudiannya meminta saya menulis berdasarkan tajuk yang diberikan.

“Walaupun nampak mudah kerana sudah ada gambaran cerita, tetapi sebagai penulis, saya lebih suka diberikan kebebasan dan situasi ini akan menghalang kreativiti saya menghasilkan jalan cerita lebih bervariasi.

“Saya angkat topi pada penulis lirik yang boleh menyiapkan lirik dalam tempoh yang cukup singkat. Bagi saya, jika melodi lagu saya suka, namun, akan lebih mengambil masa untuk menyiapkan lirik.

“Jujurnya, saya sangat menggemari lagu ciptaan komposer, Ross Ariffin. Melodinya sangat mencabar kebolehan saya. Selain Ross, saya juga suka dengan lagu ciptaan komposer Allahyarham Rahim Othman,” cerita Habsah.

Potret terakhir Habsah bersama Allahyarham Sudirman pada hari penganugerahan pingat Ahli Mangku Negara di Istana Negara pada 1988. - Foto Habsah Hassan
Potret terakhir Habsah bersama Allahyarham Sudirman pada hari penganugerahan pingat Ahli Mangku Negara di Istana Negara pada 1988. – Foto Habsah Hassan

Mengulas pertanyaan mengapa tidak lagi aktif menghasilkan drama ataupun filem, dalam nada merendah diri, Kak Chah beranggapan mungkin karya sudah tidak relevan dengan cita rasa stesen penyiaran, ketika ini.

“Sebelum ini, saya ada pergi sesi ‘pitching’, tetapi tidak pernah dipanggil. Mungkin cerita yang dihasilkan tidak sesuai dengan cita rasa mereka.

“Kebanyakan cerita dihasilkan lebih kepada kritikan sosial terhadap masyarakat. Walaupun masih ada sentuhan cinta, namun, ia bukanlah persoalan utama seperti yang kita lihat dalam drama hari ini yang kisahnya asyik berpaksikan kepada status dan kedudukan.

“Lagipun, zaman saya masih aktif buat filem dan drama memang seronok. Waktu itu, kami sama-sama buat kerja kerana minat, bukannya mengejar glamor.

“Artis pun tidak banyak buat hal atau cerewet. Beri makan burger di lokasi pun mereka okay. Tidak pula dengar mereka merungut atau mengadu pada wartawan,” imbaunya.

Habsah menambah, dia tidak mampu menyesuaikan diri dengan sistem kerja produksi yang menjadi puncanya tidak aktif lagi.

“Kalau dahulu produksi bagaikan sebuah keluarga. Walaupun berlaku perselisihan pendapat, tetapi semuanya dapat diselesaikan secara profesional.

“Begitu juga aspek teknikal. Saya lihat banyak perbezaan antara dahulu dan sekarang. Saya lebih suka jika jurukamera bijak merakamkan momen menerusi teknik ‘close up’ wajah pelakon.

“Boleh nak gunakan teknik ‘fast cut’, tetapi perlu ada visual yang memaparkan reaksi wajah pelakon kerana itu adalah momen yang perlu ditunjukkan kepada penonton agar boleh berkongsi emosi yang sama,” luahnya.

Sebagai menghargai sumbangan dan jasa dicurah Kak Chah sepanjang lebih empat dekad dalam persada seni muzik, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur memberi pengiktirafan dengan menghadiahkan trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepadanya.

Habsah bersama suami, anak dan cucunya. - Foto Facebook Habsah Hassan
Habsah bersama suami, anak dan cucunya. – Foto Facebook Habsah Hassan

Mengulas pengiktirafan diberi kepadanya, Kak Chah meluahkan rasa terharu kerana ada juga pihak menghargai sumbangan golongan di balik tabir sepertinya.

“Jauh di sudut hati, saya terharu, rasa dihormati dan dihargai oleh BH. Ini kerana ia adalah salah satu akhbar yang paling lama yang saya ikuti sejak di bangku sekolah rendah lagi.

“Saya pernah menulis di ruangan surat pembaca. Jadi, apabila penghargaan ini datang dari akhbar BH, ia adalah satu penghormatan besar.

“Pemilihan saya sebagai penerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat sebagai pembakar semangat untuk saya terus berkarya. Saya bukannya insan yang berada di hadapan pentas.

“Tidak pernah saya bayangkan diberi penghormatan setinggi ini. Selama ini, saya lihat hanya golongan glamor sahaja yang diberikan trofi ini.

“Terima kasih BH atas anugerah ini. Saya tetap berdoa BH akan terus hidup sampai bila-bila walaupun menghadapi pelbagai cabaran di sekeliling,” ungkapnya.

Terdahulu, Habsah dikurniakan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan pada Februari lalu.

Mula menceburkan diri dalam bidang penulisan lirik sejak 1974. Sehingga kini, Habsah sudah menghasilkan ribuan lirik.

Antara lagu kegemarannya adalah Merisik Khabar nyanyian arwah Sudirman yang liriknya dihasilkan berdasarkan luahan kesedihan penghibur tersohor itu selepas melalui episod perceraian.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *