KUALA LUMPUR: Baru berjinak-jinak dalam dunia lakonan melalui drama The Hotel dan Oh My Hantaran, anggota kumpulan K-Clique, MK berharap dirinya tidak dilabel aktor ‘kayu’.

Sebaliknya, jejaka dari Tawau, Sabah ini menganggap dirinya kurang pengalaman dan masih dalam proses belajar.

Namun, MK semakin seronok menceburi bidang lakonan tetapi enggan melupakan karier sebagai penyanyi rap.

“Setakat ini, saya belum terima kritikan keterlaluan. Sekadar gelar saya ‘kayu’, biasalah. Namun, saya harap, tidak terus dilabel seumpama itu.

“Saya bukan ‘kayu’, cuma kurang pengalaman. Saya akan belajar memperbaiki mutu lakonan. Insya-Allah dari ‘kayu’ perlahan-lahan keluar daun dan jadi bunga.https://8ebd803ba1c139f49b52ee7d617514ed.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html

MK tidak sesekali melupakan dunia nyanyian biarpun ketika ini mula berjinak-jinak membintangi drama. Foto IG MK
MK tidak sesekali melupakan dunia nyanyian biarpun ketika ini mula berjinak-jinak membintangi drama. Foto IG MK

“Berlakon memberi saya kepuasan. Apabila dapat meneroka sesuatu yang baharu terutama membawakan karakter yang berbeza-beza, ia memberi keseronokan kepada saya,” katanya kepada BH Online.

MK yang nama sebenar, Muhammad Hairi Amin Hamdan, 25, tidak pasti dakwaan mengatakan dirinya menjadi rebutan penerbit sekarang.

“Soal menjadi rebutan stesen televisyen (TV) dan penerbit, saya tidak tahu menahu. Tetapi jika diberi peluang, saya akan terima ikut kemampuan dan masa.

“Lagipun, saya tidak mahu mengabaikan karier sebagai penyanyi rap apabila sibuk berlakon. Kalau boleh, saya mahu kedua-dua kerjaya seiringan.

“Jadi, saya berusaha untuk tampil dengan single baharu supaya peminat nampak saya tidak lupakan bidang nyanyian,” katanya.

Berasal dari Negeri Di Bawah Bayu, MK yang juga graduan bidang pengajian perniagaan bersyukur biarpun loghat kenegerian ‘pekat’, penerbit drama tidak pernah diskriminasi terhadapnya.

Sebaliknya, MK berkata, penerbit memberi peluang berlakon ikut keselesaannya.

“Asalkan penonton faham. Namun, saya perlahan-lahan cuba menukar loghat tetapi tidaklah secara drastik,” katanya.

Sementara itu, berkongsi mengenai karier muzik, MK yang bersama kumpulan K-Clique sejak 2014 berkata, biar apa pun terjadi, mereka tidak akan berpecah.

Biarpun kerjaya dirinya, Noki dan Tuju lebih menyerlah, tidak pernah timbul perasaan iri hati dalam kalangan ahli lain.

“Insya-Allah, perpecahan tidak akan berlaku dalam K-Clique. Saya cukup yakin. Saya sendiri tidak sesekali melupakan kumpulan yang membawakan nama saya hingga tahap ini.

“Saya bersyukur tidak pernah timbul perasaan dengki atau cemburu antara kami. Sebaliknya, kami sentiasa menyokong antara satu dengan yang lain.

“Saya mendoakan rakan-rakan lain dapat peluang sama. Kalau dapat rezeki berlakon bersama-sama, tentu menarik,” katanya.

K-Clique yang popular dengan lagu Mimpi dan Pulang dijangka tampil dengan album yang bakal memuatkan 20 lagu termasuk dendangan solo masing-masing.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *