KUALA LUMPUR: Memberanikan diri mencuba sesuatu yang baharu, penyanyi, komposer dan pelakon, Naim Daniel mengembangkan bakat dalam bidang pengacaraan pula.

Naim, 24, yang diberi tanggungjawab mengendalikan program realiti, Suara Viral 2.0, teruja memikul tugas buat kali pertama.

Naim percaya bidang seni itu luas dan menjadikan Allahyarham P Ramlee dan Allahyarham Sudirman sebagai idola. Foto IG Naim Daniel
Naim percaya bidang seni itu luas dan menjadikan Allahyarham P Ramlee dan Allahyarham Sudirman sebagai idola. Foto IG Naim Daniel

“Ini penampilan pertama saya sebagai hos program besar. Sebelum ini, tidak pernah diberi tawaran secara rasmi. Saya anggap ini peluang yang sangat baik untuk saya teroka bidang baharu,” katanya kepada BH Online.

Mengaku seronok mengacarakan program bersama Danial Zaini, Naim berkata, dia selesa berganding dengan pelawak itu, apatah lagi mereka dapat mewujudkan suasana santai.

“Bekerja dengan Danial susah kalau tak ketawa. Dia sangat ceria. Saya sangat senang bekerjasama dengan orang yang ceria seperti dirinya.

“Danial juga banyak beri idea dan mudah berkomunikasi… Banyak yang saya belajar daripadanya,” katanya.

Naim berkata, dia agak canggung dan kekok pada minggu pertama tugasan.

“Namun, selepas beberapa lama, saya mula selesa dengan orang dan suasana di set, barulah selepas itu saya ada keyakinan untuk tidak menggunakan ‘cue card’.

“Ketika peserta buat persembahan, saya dan Danial tidak duduk diam. Ada sahaja idea yang kami cetuskan,” katanya.

Naim berkongsi pengalaman dan kepercayaan yang diberi penerbit dianggap peluang terbaik untuk dirinya meneroka bidang baharu.

“Saya tak sangka boleh teroka bidang pengacaraan. Setengah orang menghadiri kelas pengacaraan dan selesa membuat latihan sendiri.

“Bagi saya, lebih kepada analisis, membiasakan diri dan memperbaiki ikut situasi. Ini membuatkan saya lebih yakin untuk tidak terikat dengan mana-mana cara atau kaedah pengacaraan.

“Saya harap semua orang gembira bekerja dengan saya dan penonton seronok… Insya-Allah,” katanya.

Ditanya kesediaan menerima lebih banyak tawaran mengacara, penyanyi lagu Sumpah ini mengaku sentiasa berlapang dada.

“Saya selalu berfikir untuk bekerja dalam industri seni ini, saya percaya, seni tidak hanya satu perkara. Selagi kita mampu untuk teroka dan ‘lapar’ untuk membuat lebih banyak perkara lagi, kita hanya perlu buat saja.

“Saya bukan memegang semangat seorang, tetapi lebih ramai insan bergelar anak seni di Malaysia ini yang berjiwa besar dalam menghasilkan karya mereka.

“Saya menjadikan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad sebagai idola. Mereka bukan terikat pada satu bidang saja, malah berlakon melawak dan pelbagai bakat lain,” katanya.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *