KUALA LUMPUR: Kredibiliti dan pengalaman selama 25 tahun dalam industri kreatif menjadi anjakan buat kerjaya Ahmad Idham Ahmad Nadzri apabila menggalas tanggungjawab sebagai Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Luar Negeri, berkuatkuasa semalam.
Selain Ahmad Idham, penerbit dan pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof pula dilantik sebagai Perunding Kreatif kementerian berkenaan.
Perlantikan dua karyawan seni yang aktif dalam industri kreatif itu diputuskan Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah selaras dengan objektif membangunkan Diplomasi Budaya di bawah Kerangka Dasar Luar Malaysia.
Ahmad Idham berkata, dia bertanggungjawab sebagai penghubung dan pemudah cara dalam memperkenalkan karya, muzik, budaya dan produk Malaysia ke peringkat antarabangsa. Ini sekali gus dapat membantu melancarkan usaha membawa dan memperkenalkan jenama tempatan ke luar negara.DISYORKAN UNTUK ANDA
- ‘Penggiat muzik bernafas lega’
- Ahmad Idham CEO baharu FINAS
- ‘Shooting’ di studio, usah jadikan isu besar – Ahmad Idham
- ’15 bulan terlalu singkat’
“Sebelum ini, tiada portfolio atau bidang tugasan yang jelas bagi langkah membawa produk tempatan ke luar negara.
“Insya-Allah, berikan masa selama sebulan untuk saya menyiapkan Kerangka Dasar Luar Malaysia. Ia diwujudkan bagi mempamerkan identiti, nilai kebangsaan, kepelbagaian tradisi, menggalakkan promosi dan pertukaran budaya.https://c90faeb1e0f50b4a8387404905f041f1.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html
“Usaha ini dapat dilaksanakan apabila Wisma Putra bekerjasama pejabat kedutaan di luar negara. Malaysia mempunyai sebanyak 107 di seluruh dunia, jadi dengan adanya portfolio betul, ia dapat membuka peluang bukan sahaja kepada filem, muzik dan budaya, malah drama, teater, seni persembahan dan nasyid turut diperkenalkan.
“Sebenarnya, Diplomasi Budaya dapat dilaksanakan dengan kerjasama bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, katanya, hasrat memperkenalkan produk Malaysia ke peringkat global seperti penyertaan festival filem antarabangsa agak sukar kerana pembikin filem perlu berurusan sendiri dengan penganjur.
Namun, katanya, kerja melobi dan mempromosikan produk tempatan ke luar negara lebih lancar dengan bantuan kementerian serta kedutaan dengan adanya Diplomasi Budaya.
“Tugasan saya seperti pegawai perhubungan korporat bagi menghubungkan produk Malaysia ke luar negara seperti yang berjaya dilakukan oleh Korea Selatan dalam mempromosikan negara menerusi produk seni.
“Kami mahu menjadikan Korea Selatan sebagai penanda aras, selain berharap produk tempatan cepat dikenali di mata dunia.
“Menggunakan bantuan kedutaan, itu adalah salah satu strategi terbaik. Malah, saya tidak perlu kerap terbang ke luar negara, sebaliknya boleh menggunakan khidmat pejabat kedutaan untuk melakukan rundingan,” katanya.
Tambah Ahmad Idham, ini juga adalah jalan terbaik bagi membolehkan produk Malaysia menembusi anugerah berprestij seperti Anugerah Akademi dan Grammy.
“Kami akan menjalinkan banyak usaha sama dengan negara luar. Kementerian Luar Negeri membolehkan Diplomasi Budaya mengetuk pintu negara lain menerusi hubungan diplomatik,” katanya.
Terdahulu, pengumuman perlantikan Ahmad Idham dan Eizlan dilakukan Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah dalam sidang media di Wisma Putra, Putrajaya, semalam.

Saifuddin berkata, Ahmad Idham dilantik kerana berpengalaman luas selama 25 tahun dalam industri kreatif, termasuk memenangi anugerah antarabangsa di Pesta Filem Chunsa Korea pada 2018.
Manakala, Eizlan pula tidak asing dalam industri dan pernah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti serta memenangi pelbagai anugerah di peringkat tempatan serta antarabangsa.
“Bagi mempromosikan Diplomasi Budaya, Jawatankuasa Seni & Budaya (ARCA) akan ditubuh di bawah Pejabat Menteri untuk mengukuhkan usaha dalam meletakkan seni Malaysia sebagai saluran berkesan dalam mempromosikan warisan sejarah dan budaya negara.
“Saya yakin bahawa Ahmad Idham dan Eizlan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan dedikasi dan jayanya,” kata Saifuddin.
Sementara itu, Eizlan berkata, skop tugasan yang dipertanggungjawab bersama Ahmad Idham kini lebih meluas.
“Saya masih mempunyai tanggungjawab bersama FINAS. Sebelum ini, fokus kami hanya kepada industri perfileman. Namun, kini, kami bukan sahaja memperkasakan filem, malah meliputi industri kreatif lain seperti muzik, budaya dan seni persembahan secara keseluruhan bersama Kementerian Luar Negeri.
“Ia menjadi tanggungjawab kami dalam membawa tahap industri kreatif ke peringkat global.
“Bagi saya, ini adalah usaha dan inisiatif sangat positif, lagi pula, tiada kalangan penggiat seni ditempatkan ke posisi ini.
“Kami akan bekerjasama bersama MOTAC dan KKMM bagi memperkasakan industri kreatif. Kita harus memandang dari sudut positif dan tidak boleh berfikiran negatif dalam membantu industri kreatif secara keseluruhan,” katanya.
Kredit: Berita Harian