KUALA LUMPUR: Malang tidak berbau apabila penyanyi Osama Yamani mengalami kemalangan jalan raya yang hampir meragut nyawanya di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Tol Sungai Buloh, semalam.
Difahamkan, kereta pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipandu anak kepada penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah itu hilang kawalan dan berpusing sebanyak tiga kali kira-kira jam 12.20 pagi.
“Saya dan bapa saudara dari Ipoh menuju ke Shah Alam. Saya memandu kereta milik baba (Jamal). Nak dijadikan cerita, kereta hilang kawalan dan berpusing sebanyak tiga kali.
“Jujurnya, saya serik memandu pada waktu malam bagi perjalanan jauh. Saya ingat nyawa sudah melayang apabila kereta berpusing-pusing.
“Namun, kami tidak mengalami kecederaan dan paling penting, tidak mengheret nyawa orang lain. Saya bersyukur Allah masih mengurniakan saya usia yang panjang, cuma kereta mengalami kerosakan teruk,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Bunga Seroja dan Takut Kehilangan itu berkata, dia turut dimaklumkan berlaku kemalangan membabitkan kematian di tempat kejadian.
“Ia berlaku pada hari yang sama, cuma sebelah petang,” katanya.
Osama berkata, kejadian berkenaan membuka matanya, apatah lagi, tidak pernah berdepan dengan kemalangan jalan raya.
“Saya terkejut kerana kali pertama berdepan situasi seperti ini. Namun, ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku. Mungkin saya tidak akan tahu urusan berkaitan insuran dan sebagainya.
“Saya pun sudah besar, jadi tidak boleh mengharapkan baba lagi. Mengenai memakai tali pinggang keledar pun tidak boleh diambil mudah. Saya akui, ada kala terlupa memakainya.
“Tetapi, saya memakainya pada hari kejadian. Bayangkan, jika saya tidak memakainya, mungkin saya mengalami kecederaan lebih teruk,” katanya.
Kredit: Berita Harian