KUALA LUMPUR: Lima tahun bertatih membina nama, bakat baharu, Zaki Azeman akur laluan dalam dunia seni bukannya mudah.
Biarpun sudah berlakon dalam kira-kira 10 drama, Zaki atau nama penuh, Muhamad Zaki Azeman, 26, sedar dirinya belum cukup dikenali.
Namun, itu tidak melemahkan semangat anak Perlis ini yang mula dikenali selepas membintangi drama, Isteri Bukan Untuk Disewa arahan Osman Ali.
Tidak hairanlah, pencalonan dirinya dalam pusingan awal kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 menyuntik motivasi kepada dirinya.
“Saya sangat teruja dengan pencalonan pada ABPBH 34. Mungkin kepada orang lain, perkara ini bukanlah sesuatu yang menyeronokkan.
“Namun, peluang dan kesempatan diberi ABPBH 34 dan BH amat saya hargai. Soal sama ada menang atau jadi Top 5, itu soal lain.

“Saya tidak melalui laluan mudah untuk jadi pelakon. Seperti artis lain, saya bergelut. Namun, Tuhan murahkan rezeki hingga segala-galanya lancar termasuk berkat tabungan ketika negara dilanda pandemik COVID-19,” katanya kepada BH Online.
Mengenai harapan pada pusingan awal ABPBH 34, pelakon drama kontroversi, Isteri Bukan Untuk Disewa ini tidak terlalu mengimpikan kemanisan.
“Insya-Allah ada rezeki, adalah… Tidak perlu risau. Kita manusia ini hanya berusaha dan beri yang terbaik.
“Sejak dahulu, kelab peminat saya, Zakiazemanis FC banyak menyokong dan mengundi untuk saya,” katanya.
Ketika industri kreatif mula diberi kelonggaran memulakan penggambaran, Zaki sibuk menyiapkan drama Hati Yang Dikhianati terbitan Global Station.
“Drama lakonan saya yang sedang disiarkan adalah Bila Hati Berbisik di TV Okey.
“Selain itu, disebabkan COVID-19, projek drama dengan produksi Suhan Movies terpaksa ditangguhkan. Namun, saya beroleh rezeki dengan syarikat produksi lain.
“Insya-Allah, selepas ini ada projek telefilem dengan Osman,” katanya.
Kredit: Berita Harian