KUALA LUMPUR: Kekuatan lirik dan corak penyampaian berbeza memberi kelebihan kepada lagu Sifar terbitan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada 2019 sehingga diangkat sebagai juara International Media Festival For Prevention (IMFP) di Toronto, Kanada, baru-baru ini.

Memperincikan lagu runut bunyi filem Warkah itu, Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan PERKESO, Dr Azlan Darus berkata, lagu Sifar ciptaan Asfan Shah bersama Tripdisz, Lady D dan Kmy Kmo itu mengetengahkan wawasan agensi berkenaan yang disifatkan juri senada dengan agenda pada peringkat global.

“Sifar dihasilkan untuk golongan muda yang menjadi kumpulan sasaran PERKESO ketika memperkenalkan konsep Vison Zero.

“Ia adalah pendekatan strategik terhadap usaha pencegahan kemalangan yang menggabungkan elemen keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan di tempat kerja.

“Golongan muda adalah golongan paling berisiko bagi keselamatan jalan raya sama ada ketika pergi dan pulang dari kerja. Liriknya juga mengandungi semua elemen yang ada dalam visi kami.

“Meskipun pesaing juga menampilkan genre yang sama, namun kelebihan karya Malaysia adalah dari segi kandungan dan gaya penyampaian yang mempunyai acuan Malaysia,” katanya pada sidang media secara virtual, hari ini.https://161ed5b089aba6b92d1c8f2ace2db182.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html

Turut hadir, Asfan, Tripdisz, Lady D dan Kmy Kmo.

IMFP dianjurkan setiap tahun sempena World Congress On Safety and Health At Work, mengiktiraf filem dan karya multimedia yang mengangkat tema keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Tahun ini, penganjur menerima sebanyak 289 penyertaan daripada 40 negara.

Dr Azlan menyifatkan kekuatan lirik dan corak penyampaian berbeza lagu Sifar memberi kelebihan untuk mengetepikan calon pesaing lain. - Foto Ihsan PERKESO
Dr Azlan menyifatkan kekuatan lirik dan corak penyampaian berbeza lagu Sifar memberi kelebihan untuk mengetepikan calon pesaing lain. – Foto Ihsan PERKESO

Bagi meraikan kejayaan itu, Dr Azlan berkata, promosi berterusan akan dilakukan termasuk menyiarkan lagu Sifar pada majlis dan kempen yang dijayakan PERKESO.

“Kita akan sedaya upaya menggunakan lagu Sifar untuk semua acara, promosi dan kempen keselamatan serta kesihatan pekerja.

“Selain itu, kami menerusi bahagian Komunikasi Strategik mempunyai perancangan untuk menayangkan kembali filem Warkah di platform penstriman ketika kemenangan lagu Sifar masih diperkatakan,” katanya.

Mengulas hadiah kemenangan, Dr Azlan memaklumkan tiada wang tunai diberikan, sebaliknya pemenang mendapat pengiktirafan dalam bentuk sijil dan trofi.

“Selain itu, lagu Sifar akan diputarkan sepanjang kongres berlangsung dan penganjuran kongres yang sama pada masa akan datang,” katanya.

Sejak dilancarkan pada November 2019, lagu Sifar bergenre moden kontemporari dimuat naik beberapa kali menerusi saluran YouTube dan sehingga kini, berjaya memperoleh lebih 700,000 tontonan.

Lagu Sifar boleh ditonton menerusi laman YouTube rasmi PERKESO di pautan https://youtu.be/5hcbcpSLMhc.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *