KUALA LUMPUR: Penyanyi Ayda Jebat, 29, selamat melahirkan bayi perempuan di sebuah pusat perubatan di ibu negara pada jam 7.07 malam, semalam.
Berita gembira itu dikongsi suaminya, pengacara dan pelakon, Nabil Mahir menerusi Instagram (IG), malam ini.
Menerusi hantaran yang memaparkan fotonya menggendong bayi yang digelar Baby Wuv, Nabil meluahkan rasa teruja bergelar bapa.
“Saya kini secara rasminya seorang ayah. Alhamdulillah, semuanya berlaku begitu pantas.
“Isteri saya, Ayda selamat melahirkan Baby Wuv seberat 2.77 kilogram pada jam 7.07 malam,” tulisnya.
Melalui entri yang sama, pelakon drama Pujaan Hati Kanda ini turut memaklumkan keadaan terkini isteri, anaknya dan pengalaman pertama menjaga bayinya itu.
“Alhamdulillah, Ayda dan bayi sihat dan mereka memerlukan rehat yang cukup. Malam semalam, Baby Wuv sudah mula bangun hampir setiap jam, tetapi syukur, bayi senang dipujuk.
“Terima kasih atas ucapan dan doa, moga kita semua sama-sama mendapat keberkatan dari-Nya,” luah pemilik nama lengkap Ahmad Nabil Ahmad Mahir ini.

Sementara itu, penyanyi Pencuri Hati itu turut berkongsi berita sama menerusi foto yang memaparkan tangan permata hatinya dalam IG.
“Alhamdulillah, syukur. Terima kasih atas doa-doanya,” tulisnya.
Sementara itu, meninjau ruangan komen, ramai pengikut termasuk rakan selebriti teruja dengan berita yang dikongsi pasangan itu sambil mengucapkan tahniah kepada mereka.
Selepas sekian lama menyimpan rahsia, Ogos lalu pasangan itu mengumumkan mereka bakal mendapat cahaya mata perempuan.
Pada April lalu, Ayda mengesahkan dirinya hamil empat bulan. Pasangan ini mendirikan rumah tangga di Masjid Al-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail pada 1 Januari lalu.
Kredit: Berita Harian