KUALA LUMPUR: Kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk industri kreatif yang diumumkan baru-baru ini, melegakan pengusaha studio latihan muzik dan tarian selepas hampir dua tahun tenat ibarat tinggal ‘nyawa-nyawa ikan’.
Andai sebelum penularan pandemik COVID-19 operasi studio latihan muzik untuk sesi ‘jamming’ dan rakaman tidak putus-putus ditempah, namun, sebaik wabak menular, perniagaan merudum hingga memaksa pengusaha terbabit mencari sumber pendapatan lain.
Lebih memburukkan keadaan, akibat lama tidak digunakan, pengusaha studio latihan muzik berdepan kerugian apabila peralatan seperti ‘amplifier’ rosak dan tali gitar berkarat.
Masing-masing terkapai-kapai meneruskan kelangsungan hidup, apatah lagi, tidak diwakili mana-mana persatuan agar nasib terbela, pengusaha studio latihan muzik dan tarian hilang punca untuk mengadu.
Pengusaha Rockers Jamming Studio, Hafizul Akhmal Ab Ghani, 39, berkata, premis yang dibuka di Kota Warisan, Sepang, beroperasi tidak sampai sebulan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan, Mac tahun lalu.
“Pelancaran operasi studio tidak kena masanya. Tidak sampai sebulan beroperasi, studio kena tutup. Tiada siapa menyangka semua ini terjadi.
“Studio saya ditutup empat kali sejak PKP 1.0 sehinggalah Fasa Satu PPN dilaksanakan,” katanya kepada BH Online.
Disebabkan tidak dibenarkan beroperasi, tambah Hafizul Akhmal, peralatan muzik dalam studio rosak teruk.
“Tali gitar berkarat dan ‘amplifier’ untuk gitar juga rosak. Begitu juga peralatan lain kerana penutupan ini bukan untuk jangka masa pendek, malah, tempoh itu berlarutan.
“Mujur saya ada seorang sahaja pekerja di studio dan dia terpaksa diberhentikan buat sementara waktu,” katanya.

Hafizul Akhmal berkata, bagi meneruskan survival, dia membuat kerja pembinaan seperti longkang dan sebagainya.
“Bagi kerja kontrak ini, saya ada dua pekerja yang bertindak sebagai penyelia lapangan,” katanya.
Hafizul Akhmal bersyukur studionya kembali beroperasi sejak 10 September lalu berikutan kelonggaran SOP diberi kerajaan.
“Alhamdulillah, pada hari pertama dibuka, ada tiga kumpulan muzik datang untuk sesi ‘jamming’,” katanya.
Bagi Raffique Hashimi Hashim yang mengusahakan Studio Village Roof di Petaling Jaya, premisnya sudah 17 bulan ditutup akibat pandemik.
Selama ini, studio ‘jamming’ dan rakaman yang diusahakan sejak 10 tahun lalu itu menjadi pilihan artis untuk kerja rakaman suara.
“Sejak 17 bulan lalu saya perlu membiayai kos operasi seperti bil elektrik, air dan pengurusan premis. Pendek kata, sejak itu, wang keluar macam biasa tetapi duit masuk, tiada,” katanya.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu bagaimanapun meneruskan kelangsungan hidup dengan mengajar seni mempertahankan diri taekwondo secara atas talian.
“Namun, jumlah pelajar menurun sehingga 25 peratus daripada senarai asal. Memang perit, tapi kena kuat. Saya beruntung kerana keluarga membantu serba sedikit dalam aspek kewangan,” katanya.

Namun, sejak Isnin lalu, Raffique membuka semula studionya.
“Lega apabila studio dapat beroperasi semula. Harap semua yang nak ke studio saya kenalah lengkap dos dua vaksin dan patuh SOP,” katanya.
Raffique menambah kebiasaannya studio latihan muzik seperti diusahakannya tidak dinaungi mana-mana persatuan.
Gitaris kumpulan Bunkface, Paan atau nama penuh, Ahmad Farhan Hashim memberitahu, Studio Bunkface Production Sdn Bhd yang dibuka sejak 2011, turut terkena tempias penularan pandemik COVID-19.
Namun, studio yang diusahakan bersama dua lagi anggota Bunkface, Sam dan Youk masih bertahan dengan kerja seni mereka.
“Hendak kata terkesan, rata-rata ramai terpalit dengan macam-macam dugaan ketika pandemik ini. Saya dan rakan Bunkface tidak ketinggalan.
“Bagaimanapun, studio rakaman kami masih bertahan dengan adanya jualan lagu dari platform digital, bayaran royalti dan kontrak sokongan atau ‘endorsement’ produk.
“Kami masih bersyukur atas nikmat Allah ini,” katanya.

Sementara itu, juru tari terkenal, Hanafi atau nama penuh, Mohd Hanafi Rosdi, 33, akur studio tari, On Stage Production (OSP) yang dibukanya bersama isteri tidak boleh beroperasi sejak PKP 1.0.
Studio di Jalan Dwitasik, Bandar Sri Permaisuri, di sini, dibuka pada 2015 selepas dia dan isteri menamatkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
“Biarpun studio ditutup, sewa dan bil lain dibayar seperti biasa,” katanya.
Mohd Hanafi berkata, OSP menyediakan kelas tarian, menawarkan khidmat penari dan sewaan kostum.
“Kami juga menyewa premis untuk dijadikan ruang aktiviti termasuk latihan menari. Namun, sehingga hari ini, kami tidak beroleh pendapatan langsung,” katanya.
Berikutan itu, Mohd Hanafi mengambil inisiatif memasarkan keropok lekor di bawah jenama Bangpi Lekors.
“Saya tidak boleh berpeluk tubuh. Saya ada keluarga kena beri makan. Saya bersyukur perniagaan keropok lekor diterima hingga menembusi pasaran Singapura.
“Bisnes ini membuka peluang kepada individu yang berminat menjadi ejen atau stokis bagi menjana pendapatan sampingan,” katanya yang masih menunggu pengumuman kerajaan berhubung operasi studio tari.
Kredit: Berita Harian