KUALA LUMPUR: Inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memberi bayaran pendahuluan sehingga 20 peratus kepada syarikat produksi yang mahu memulakan aktiviti penggambaran diibaratkan ‘bulan jatuh ke riba’ oleh penggerak industri kreatif.

Bagaikan talian hayat untuk syarikat produksi ‘bernafas’ semula dan meneruskan survival, bantuan itu membuktikan kerajaan prihatin dengan nasib penggiat seni yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli, berkata langkah KKMM memberi pendahuluan kepada syarikat produksi tepat pada masanya kerana membantu meringankan beban penerbit.

“Usaha ini sangat baik… Saya yakin ramai penerbit menarik nafas lega kerana bantuan berbentuk bayaran pendahuluan ini mampu meringankan beban mereka yang terdesak.

“Apabila aktiviti penggambaran disekat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, penerbit terpaksa menggunakan wang simpanan bagi menampung kehidupan.

“Sekurang-kurangnya, dengan bantuan bayaran pendahuluan sehingga 20 peratus, mereka boleh guna untuk membiayai kos pembikinan drama yang semakin tinggi dan bayaran untuk pekerja belakang tabir,” katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, kerajaan sedia memberi bayaran pendahuluan sehingga 20 peratus kepada syarikat produksi seni kreatif di bawah kementerian itu yang akan memulakan penggambaran, tidak lama lagi.

Annuar menyebut bayaran pendahuluan itu dapat membantu syarikat produksi yang membuat kandungan bersama stesen televisyen (TV), menampung kos operasi bagi menyiapkan hasil kreatif mereka yang sebelum ini tertangguh akibat pandemik COVID-19.

Shahrulezad berpendapat inisiatif kerajaan membuktikan mereka berusaha keras merancakkan kembali industri seni yang hampir lumpuh. - Foto IG Shahrulezad Mohameddin
Shahrulezad berpendapat inisiatif kerajaan membuktikan mereka berusaha keras merancakkan kembali industri seni yang hampir lumpuh. – Foto IG Shahrulezad Mohameddin

Jurey mengucapkan terima kasih kepada KKMM kerana memandang berat permasalahan penggiat seni dengan mengambil kira saranan yang pernah disuarakan PTVM.

“Perkara ini pernah kami bawa dalam perbincangan bersama kementerian. Apabila mereka bersetuju untuk melaksanakan usul kami ini, sudah tentu berita itu sangat menggembirakan.

“Walaupun stesen penyiaran lain sudah lama melaksanakan sistem itu (pendahuluan 20 peratus kos produksi), namun, saya harap sistem ini dapat diseragamkan untuk semua stesen TV,” katanya,

Penerbit dan pengarah syarikat produksi, Radius One, Shahrulezad Mohameddin, berkata inisiatif kerajaan itu membuktikan mereka berusaha keras merancakkan kembali industri seni yang hampir lumpuh.

“Walaupun membabitkan produksi yang mempunyai kontrak dengan RTM, namun, usaha itu sangat murni.

“Ini secara tidak langsung memberi semangat dan harapan untuk penerbit terus berkarya dan secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan.

“Untuk sebuah produksi, bayaran pendahuluan maksimum hingga 20 peratus itu sangat besar. Wang ini dapat digunakan untuk dijadikan modal pusingan,” katanya.

Fadzil mengharapkan keputusan kerajaan diharap dikekalkan, bukan bersifat sementara. - Foto IG Fadzil Teh
Fadzil mengharapkan keputusan kerajaan diharap dikekalkan, bukan bersifat sementara. – Foto IG Fadzil Teh

Tambah Shahrulezad, keputusan kerajaan memberi bayaran pendahuluan sehingga 20 peratus kepada syarikat produksi ibarat inisiatif serampang dua mata.

“Lagipun sepanjang PKP, syarikat produksi berperanan sebagai majikan yang kena ambil tahu nasib pelakon dan pekerja belakang tabir.

“Tidak sampai hati apabila mendengar ada antara kru mengadu tiada duit hendak bayar sewa rumah dan membeli susu anak. Boleh dikatakan duit simpanan banyak digunakan untuk tujuan kebajikan.

“Dengan bantuan yang diberi, selain dijadikan modal pusingan, dapat digunakan untuk membantu meringankan beban yang ditanggung produksi dan petugas,” katanya.

Bagi penerbit pemilik Syarikat Zeel Production, Fadzil Teh, keputusan kerajaan itu diharap dikekalkan, bukan bersifat sementara.

“Berbanding stesen penyiaran lain, RTM tidak pernah memberi bayaran pendahuluan kepada syarikat produksi. Sebagai penerbit, kami sangat mengalu-alukan usaha ini.

“Cuma kami berharap pertimbangan RTM supaya dapat menyegerakan urusan pembayaran. Sekarang, urusan pembayaran mengambil masa agak lama, malah bertahun untuk dilunaskan.

“Masalah ini berkait kerana apabila bayaran sering tertangguh, penerbit menghadapi kesukaran membuat pusingan modal untuk projek seterusnya,” katanya.

Zaiton menyifatkan pendahuluan 20 peratus daripada KKMM sesuatu yang ditunggu syarikat produksi. - Foto IG Zaiton Mohd Jiwa
Zaiton menyifatkan pendahuluan 20 peratus daripada KKMM sesuatu yang ditunggu syarikat produksi. – Foto IG Zaiton Mohd Jiwa

Sementara itu, penerbit Global Station Sdn Bhd, Datin Zaiton Mohd Jiwa menyifatkan pendahuluan 20 peratus daripada KKMM sesuatu yang ditunggu-tunggu syarikat produksi.

“Usaha RTM wajar dipuji pujian kerana ia menandakan mereka faham masalah dihadapi penerbit terutama sejak pandemik COVID-19 melanda.

“Sepatutnya, dari dulu lagi mereka laksanakan sistem ini. Stesen TV lain sudah lama mengambil langkah sama.

“Bantuan seperti ini amat diperlukan kerana penerbit sering berdepan kekangan daripada segi modal hingga memberi tekanan.

“Sudahlah tiada bayaran pendahuluan, bayaran pula lewat diterima. Ini menimbulkan masalah lain seperti jumlah faedah terkumpul jika modal menghasilkan drama berupa dana atau pinjaman bank,” katanya.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *