KUALA LUMPUR: Meneliti perjalanan karier empat figura ini iaitu pelakon, Kismah Johar dan Vanidah Imran serta penyanyi Ning Baizura dan Liza Hanim, masing-masing ampuh dalam liga tersendiri biarpun rata-rata hampir tiga dekad bergelumang dalam dunia seni.

Biarpun industri hiburan dibanjiri bakat baharu digelar ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU), ternyata bakat Kismah, Vanidah, Ning dan Liza masih ‘berbisa’ dan kemunculan mereka dengan produk baharu dinantikan.

Masing-masing cukup syarat untuk diangkat sebagai calon awal Anugerah Bintang Popular (BH) Ke-34 yang dilancarkan Jumaat lalu, kemunculan Kismah, Vanidah, Ning dan Liza dengan produk baharu sepanjang tahun lalu menjadi petanda mereka masih relevan.

Malah, pencalonan mereka dalam kategori masing-masing, menambah warna acara anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia ini.

Saingan diberi pasti memberi galakan untuk bakat pelapis mencontohi komitmen dan disiplin Kismah, Vanidah, Ning dan Liza, selaras tema #KITABERSAMA yang diangkat pada penganjuran kali ini.

Kismah, 69, terkejut saat dimaklumkan dirinya tercalon dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular melalui penampilannya sebagai teraju utama dalam filem Keluarga Iskandar The Movie yang disiarkan Astro First pada 15 Julai tahun lalu.

Akui bintang veteran ini, rasa terkejut, terharu dan teruja menerjah fikiran silih berganti. Masakan tidak, sejak terjun ke dunia seni, kira-kira 24 tahun lalu, ini kali pertama kewujudannya dalam dunia seni disedari.

“Saya tidak tahu-menahu mengenai pencalonan itu, mungkin tersilap orang agaknya? Maafkan saya kerana terlepas pandang.

“Jika betul dicalonkan, saya betul-betul terkejut kerana sepanjang dalam industri, belum pernah lagi nama saya dicalonkan dalam mana-mana anugerah,” katanya kepada BH Online.

Kismah terkejut saat dimaklumkan dirinya tercalon dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular, ABPBH 34, malah mungkin tersilap orang. - Foto IG Kismah Johar
Kismah terkejut saat dimaklumkan dirinya tercalon dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular, ABPBH 34, malah mungkin tersilap orang. – Foto IG Kismah Johar

Kismah mengaku tidak pernah bermimpi dicalonkan dalam mana-mana acara anugerah termasuk ABPBH.

“Saya sertai dunia seni semata-mata bagi memenuhi minat berlakon. Biar apa pun, saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada ABPBH kerana mencalonkan saya.

“Walaupun pada peringkat pencalonan awal, saya masih terkejut dan tidak sangka tersenarai,” katanya.

Seperti Kismah, pelakon jelita, Vanidah Imran, 48, tidak tahu menahu mengenai pencalonannya dalam ABPBH 34 bagi kategori Pelakon Filem Wanita Popular.

Kesibukan dengan pengajian serta tanggungjawab sebagai pensyarah sambilan di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyebabkan Vanidah tidak begitu memberi perhatian kepada dunia seni.

Vanidah yang membahasakan dirinya Vee memberitahu, dia menerima ucapan tahniah daripada seorang pelajar mengenai pencalonannya dalam ABPBH 34.

Bagaimanapun, Vanidah tidak begitu mengambil pusing kata-kata pelajarnya itu.

“Memang ada pelajar mengucapkan tahniah kepada saya. Saya buat tidak tahu sahaja kerana sejujurnya, jadual saya terlalu sibuk. Saya tidak begitu mengambil tahu mengenai acara berkaitan dunia seni.

“Jika melihat kepada pelakon yang turut dicalonkan dalam kategori sama, saya tahu peluang untuk menang adalah tipis.

“Bagaimanapun, saya tidak mengharapkan langsung kemenangan. Sejak dahulu lagi, bukan populariti yang ingin saya kejar, sebaliknya, saya lebih mementingkan kualiti kerja.

“Namun, saya hargai dan berterima kasih kepada ABPBH kerana mencalonkan nama saya,” katanya yang tercalon melalui filem Daulat.

Vanidah bersyukur lebih dua dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, namanya masih relevan.

“Sejujurnya, untuk naik memang mudah. Namun, untuk kekal bertahan adalah suatu perkara yang cukup sukar,” katanya.

Pencalonan Penyanyi Wanita Popular ABPBH 34 menjadi pembakar semangat buat Liza terus memberi yang terbaik pada detik mencabar ini. - Foto IG Liza Hanim
Pencalonan Penyanyi Wanita Popular ABPBH 34 menjadi pembakar semangat buat Liza terus memberi yang terbaik pada detik mencabar ini. – Foto IG Liza Hanim

Sementara itu, penyanyi vokal mantap yang popular dengan lagu Ke Sayup Bintang, Ning Baizura, 46, mengaku tidak tahu namanya bolos pencalonan awal kategori Penyanyi Wanita Popular.

Kali terakhir Ning meraih trofi ABPBH pada edisi ke-25 yang diadakan pada 2012, bagi kategori Artis Duo/Berkumpulan Popular menerusi single Beribu Sesalan dendangan bersama Jaclyn Victor dan Shila Amzah.

“Masyallah… Alhamdulillah. Saya tidak sangka dicalonkan dalam kategori Penyanyi Wanita Popular.

“Tentu sekali saya terkejut… Saya serahkan semuanya kepada rezeki. Sekiranya ada rezeki, saya terima. Jika tidak berjaya pun tidak mengapa.

“Saya berterima kasih kepada ABPBH kerana mencalonkan saya dan kepada peminat dan pengikut yang terus menyokong kerjaya saya,” katanya.

Seorang lagi penyanyi bervokal merdu, Liza Hanim, 41, yang tampil dengan single berjudul Tiada pada tahun lalu, terkejut dimaklumkan peminat mengenai pencalonannya dalam kategori Penyanyi Wanita Popular.

Liza yang popular dengan lagu Getaran Cinta Di Jiwa memberitahu, pencalonan menjadi pembakar semangat untuk terus memberi yang terbaik buat peminat terutama pada detik mencabar ini.

“Saya rasa sangat dihargai apabila nama dicalonkan dalam kategori Penyanyi Wanita Popular. Walaupun bersaing dengan ramai nama baharu, saya teruja dan sangat gembira.

“Saya tidak sangka dicalonkan kembali selepas sekian lama. Terima kasih kerana menghargai bakat saya dan masih menyedari kewujudan saya dalam industri seni,” katanya.

Edisi ke-34 ABPBH dibawakan Xiaomi sebagai penaja utama.

Layari www.abpbh.com.my untuk memilih artis kesayangan anda sehingga tarikh tutup 3 Oktober depan.

Undian peringkat pertama membabitkan 14 kategori utama dan empat kategori online.

Undian boleh dilakukan secara percuma, pakej langganan BH digital dan cetak serta undian bersama telefon pintar nombor satu dunia, Xiaomi.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *