KUALA LUMPUR: Biarpun lebih empat dekad bergelar pelakon, namun istilah jemu tidak pernah terbit dalam kamus hidup aktor berpengalaman, Faizal Hussein, 54.

Namun, persoalannya, tidakkah aktor yang melonjak nama menerusi filem Gila-Gila Remaja dan Bayangan Maut itu ingin cuba sesuatu yang baru. Bergelar pengarah dengan berbekalkan pengalaman yang dikutip sejak menjejakkan kaki dalam bidang lakonan sejak 1970-an lagi.

Namun, Pelakon Filem Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-25 menerusi filem Bunohan itu berkata, dia pernah mencuba bidang pengarahan pada usia 23 tahun, namun dunia pengarahan bukan makanannya.

Sebaliknya, pelakon yang cukup sinonim dengan watak Roy dalam filem Gila-Gila Remaja pada 1985 berkata, nyata cintanya terhadap dunia lakonan lebih menebal berbanding cabang seni lain

“Saya pernah mengarah drama pada usia 23 tahun, tetapi hanya itu sekali sahaja. Selepas itu, saya tidak meneruskan kerja pengarahan kerana minat lebih pada bidang lakonan.

“Sebagai pelakon, tanggungjawab saya menyampaikan mesej yang cuba disampaikan penulis skrip dan pengarah dalam drama mahupun filem.

“Jadi, sebagai pelakon, jika ditawarkan apa sahaja watak sama ada baik atau jahat, saya akan cuba melakonkan mengikut piawaian dikehendaki penulis.

“Mungkin takdir saya hanya menjadi penyampai sahaja, bukannya pembuat mesej,” kata Faizal ketika ditemui pada sidang media drama I-Tanggang secara virtual.

Drama I-Tanggang bakal menemui penonton bermula 13 September ini, setiap Isnin jam 9 malam menerusi Astro Citra, saluran 108. Ia dibintangi Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofia, Emelda Rosmila dan ramai lagi.

Mengulas formula terus kekal relevan, malah masih menjadi pilihan untuk mendukung watak utama meskipun sudah berusia setengah abad, Faizal berkata, dia tidak memiliki sebarang formula.

Antara babak Faizal dalam drama I-Tanggang.
Antara babak Faizal dalam drama I-Tanggang.

Bagaimanapun, bapa kepada dua cahaya mata, Fazryn, 16, dan Fazrick, 13, itu mendedahkan, prinsip diamalkan adalah sentiasa mengutamakan eksklusif.

“Bagi saya, tidak semua perkara perlu dikongsikan, tidak boleh beri semuanya. Sebaliknya, ada yang perlu disimpan untuk pengetahuan kita sahaja.

“Untuk menjadi istimewa dan terus kekal relevan pada mata peminat, saya pastikan sentiasa menjaga penampilan, kualiti lakonan dan disiplin.

“Selain itu, saya mendahulukan watak bernas yang boleh diterima masyarakat seiring dengan peredaran zaman,” katanya.

Berkongsi pembabitan dalam drama I-Tanggang, Faizal berkatam dia membawakan watak sebagai Rahmat iaitu pegawai kerajaan yang sudah berpisah dengan isterinya, Erma.

“Bagaimanapun, perpisahan tidak sedikitpun menggugat rasa sayang Rahmat kepada anaknya. Namun, hasrat Rahmat mengambil anaknya setiap minggu ditolak secara halus oleh bekas isteri yang menghidap masalah mental Munchausen Syndrome by Proxy,” katanya.

Faizal berkata, dia tertarik menerima tawaran dalam drama 12 episod yang menampilkan idea asal, Wan Hasliza Wan Zainuddin, manakala Wan Alauddin Wan Zainuddin dan Rashidi Ishak sebagai pengarah bersama disebabkan naskhah itu dirasakan unik dan menarik.

“Isu diketengahkan dalam drama ini cukup menarik. Mungkin ramai yang tidak tahu mengenai penyakit Munchausen Sydrome. Jadi, apabila KL Motion Pictures menawarkan watak ini, saya tidak melepaskan peluang kerana naskhah ini dihasilkan di luar kotak fikiran.

“Bagi saya, ia sesuai dengan situasi masyarakat zaman moden yang berpaksikan kepada sosial media dan mengharapkan kepada ‘like’ dan ‘view’ sahaja,” kata anak kepada pelakon veteran, Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Allahyarham Mahyon Ismail itu.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *