KUALA LUMPUR: Niat penyanyi, Sufian Suhaimi menganjurkan persembahan virtual secara percuma, bulan lalu, tidak kesampaian berikutan beberapa masalah yang tidak dapat dielak.
Menurut penyanyi kelahiran Mersing, Johor ini, niat mementaskan persembahan virtual itu bertujuan mempromosikan single Cinta Tak Bertepi yang dilancarkan, Julai lalu.
“Kita hanya merancang, Tuhan menentukan. Memang hendak buat persembahan virtual, bulan lalu. Namun, projek itu terpaksa ditangguhkan kepada tarikh yang belum dapat diputuskan.
“Dalam situasi pandemik COVID-19, memang perkara begini tidak boleh dijangka. Namun, saya harap, suatu hari nanti projek itu dapat direalisasikan,” katanya.
Pemenang trofi Persembahan Terbaik menerusi lagu Di Matamu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33 ini berkata, dia membayangkan persembahan virtual itu sama seperti konsert fizikal.
“Saya mahu muzik ‘live’ yang mengiringi persembahan itu. Saya membayangkan sesi itu diadakan di sebuah studio yang sesuai.
“Saya mahu dendangkan semua lagu saya. Ini adalah persembahan untuk peminat dan mereka yang teguh menyokong saya selama ini,” katanya yang kali terakhir muncul dengan single Janji, lebih setahun lalu.
Bercerita mengenai single Cinta Tak Bertepi ciptaan Ikhwan Fatanna dan lirik, Wan Saleh itu, artis naungan Aries Music ini merakamkan lagu berkenaan, awal tahun ini.
Sufian yang menjadi calon awal kategori Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 berkata, dia tidak mengambil masa lama untuk merakamkannya di sebuah studio di Sri Damansara, Petaling Jaya.
“Sejak kali pertama mendengar demo lagu itu, hati saya pantas tertarik. Malah, lagu itu ada sedikit kelainan dalam lirik. Cara nyanyian juga berbeza.
“Melodinya pun sedih. Namun, lagu ini sangat ringan dan santai,” katanya sambil menambah kisah di sebalik lagu itu tidak ada kaitan dengan dirinya.
Selain single baharu, Sufian rancak mempromosikan produk Guitar Pillow iaitu kolaborasi babypian.hq bersama Haqiem Rusli.
Kredit: Berita Harian