KUALA LUMPUR: Ibu tiri kepada penyanyi Ashira Aziz, Norma Ariffin menghembuskan nafas terakhir akibat pandemik COVID-19 di kediamannya di Selayang, jam 6.20 petang semalam.
Berita sedih itu dikongsi penyanyi lagu Di Ombak Resah menerusi akaun Instagram (IG), semalam.
Terdahulu, Norma atau lebih mesra dipanggil Mak Norma oleh Ashira dimasukkan ke Hospital Selayang akibat jangkitan COVID1-19 pada 24 Julai lalu.
Bagaimanapun, arwah dibenarkan pulang ke rumah, pagi semalam. Namun, diserang ‘slipped disc’ atau cakera tulang belakang tergelincir hingga mengalami kesukaran bergerak selepas tiba di rumah.
- Anak Seha Freedom, Karissa teruja abang balas mesej FB
- Artis veteran, Norma Alang meninggal dunia
- Ashira hilang kerja, diusir tuan rumah
- Tak sempat tatap wajah orang tua
“Arwah dibenarkan pulang selepas sembilan hari menjalani kuarantin dan rawatan di hospital. Saya lihat abah adalah orang yang paling gembira menyambut kepulangan isterinya hingga beriya-iya mengemas rumah.
“Bagaimanapun, abah menghantar mesej memaklumkan arwah sakit tenat pada sebelah petang. Penyakit cakera tulang belakang tergelincir kembali menyerangnya.
“Arwah tidak boleh duduk atau bangun, malah hendak bergerak sedikit pun susah dan sakit.
“Abah sangat susah hati melihatkan keadaan arwah. Namun, Allah lebih menyayangi Mak Norma apabila menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.20 petang,” tulis Ashira.

Ashira berkata, biarpun arwah hanya ibu tiri, namun dia sudah menyayanginya seperti ibu kandung sendiri.
“Terima kasih menjaga abah selama ini. Jaga makan minum, pakaian harian abah. Sentiasa bersama abah ketika sakit dan selalu ambil berat mengenai kami.
“Kali terakhir saya bertemu arwah pada bulan Ramadan lalu.
“Arwah pesan, jangan lupa kena ada zuriat lagi. Maafkan Oshin, Mak Norma, belum ada rezeki dan mungkin tidak akan terjadi. Oshin sudah sayang Mak Norma macam ibu sendiri,” luah Ashira yang juga isteri kepada anggota kumpulan Indigo, Bad.
Terdahulu, selain arwah, bapa Ashira yang juga penyanyi veteran, Syed Abdul Aziz Syed Alwi turut positif COVID-19, namun hanya menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Ashira pula disahkan positif COVID-19 sejak lima hari lalu dan kini sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Kredit: Berita Harian