KUALA LUMPUR: Watak pemuda lembam, Jibek dibawa Allahyarham Benjy dalam drama Kerana Cintaku Saerah arahan Shahrulezad Mohameddin yang disiarkan TV3 pada 2007 terus dikenang sebagai antara karya terbaik pernah dihasilkan aktor berbakat besar itu.

Sejak berita pemergian Allahyarham Benjy atau nama sebenar, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 43, tersebar, kelmarin, peminat berkongsi kehebatan Benjy melakonkan pelbagai watak dengan karakter Jibek paling diperkatakan.
BH Online mendapatkan pandangan penerbit dan pengarah, Shahrulezad serta pelakon yang beraksi dalam drama Kerana Cintaku Saerah yang mendapat sambutan peminat ketika disiarkan lebih 13 tahun lalu.
- Nabila Huda antara pelakon pilihan bawa watak Juita
- Arwah Benjy sayangkan anak
- ‘Riena takut pengarah Nur garang’
- Angkat Nur ke filem, Noorkhiriah tak mahu ‘over’
Bagi Shahrulezad, arwah Benjy sangat komited dengan karakter dihidupkan hingga Jibek menjadi penanda aras buat watak insan terencat akal sehingga hari ini.
“Saya masih ingat pada hari pertama di set penggambaran, iaitu di lokasi tepi sawah pada waktu subuh, saya ternampak seorang lelaki yang pada mulanya difikirkan orang kampung.
“Iyalah, hari pertama kita masuk set, tidak berapa kenal sangat. Namun, selepas seketika, barulah saya tahu dia adalah Benjy.
“Maksudnya, sebaik memasuki set, arwah sudah dalam karakter. Komitmen, semangat dan kesungguhan arwah menjayakan watak Jibek patut dipuji.

“Arwah masuk set dalam keadaan sudah menghayati watak. Boleh saya katakan, selepas menjayakan watak Jibek, arwah meletakkan penanda aras yang terlalu tinggi untuk watak sedemikian,” katanya.
Allahyarham Benjy menghembuskan nafas terakhir akibat serangan asma dan masalah paru-paru di Hospital Royal
Prima, Medan, Indonesia, pagi kelmarin.
Shahrulezad berkata, Benjy memberikan aksi terbaik dalam drama Kerana Cinta Saerah dan kejayaan menghidupkan watak Jimbek sukar ditandingi.
“Susah untuk saya beri watak sama kepada pelakon lain. Benjy sudah beri yang terbaik. Saya tidak mahu apabila buat watak sama, saya membandingkannya dengan Jibek,” katanya.
Shahrulezad pernah berhasrat menyatukan Noorkhiriah yang turut berlakon dalam drama Kerana Cintaku Saerah dan Benjy dalam naskhah lain, selepas arwah dibebaskan dari penjara.
“Difikirkan, apabila arwah selesai dengan hukumannya, saya mahu buat kemunculan semula Benjy. Saya hendak gandingkan mereka.
“Noorkhiriah melakonkan watak Nomi dalam drama itu. Namun, hasrat saya tidak kesampaian.
“Arwah sudah berada di tempat yang lebih bagus sekarang. Jadi, kalau saya mahu buat ‘comeback’ cerita itu, saya ketengahkan watak Nomi sahaja,” katanya.
Ditanya mengenai personaliti Benjy, Shahrulezad mengaku kurang rapat dengan anak kepada Allahyarham Azean Irdawaty itu dan hanya mengenalinya sebagai rakan kerja.
“Saya hanya pernah bekerjasama dengan arwah dalam Kerana Cintaku Saerah. Jadi, saya tidak kenal secara rapat. Saya sebenarnya lebih rapat dengan arwah emaknya.
“Disebabkan itu, hubungan saya dan Benjy sekadar pengarah dan pelakon sahaja. Di lokasi penggambaran, arwah tidak banyak bercakap. Namun, kami makan bersama dan berbual.
“Arwah sangat berdisiplin. Saya sebagai pengarah, kadang-kadang bergelak ketawa tetapi arwah banyak berdiam dan hanya bercakap apabila ditanya.
“Arwah tidak banyak berbual perkara remeh,” katanya.
Sementara itu, pelakon, Wan Maimunah mengaku akrab dengan arwah selepas sama-sama bekerja untuk drama Kerana Cintaku Saerah.
“Itulah kali terakhir saya bekerjasama dengan arwah. Kenangan di set penggambaran itulah yang paling membekas dalam hati.
“Saya masih ingat arwah baring atas riba dan meluahkan perasaannya. Dia mahu saya belai rambutnya seperti seorang ibu bersama anak.
“Arwah beritahu dia mahu diet. Tetapi, saya masak nasi goreng, dia makan. Saya masih ingat dia memanggil saya Mak Bos, seperti terngiang-ngiang panggilan itu di telinga saya.
“Tidak hanya itu, arwah tinggi bahasanya. Apabila bersama saya, arwah cukup menghormati saya dan tidak meninggi suara,” katanya.
Namun, jauh di sudut di hati, Wan Maimunah sedih mengenangkan kesakitan dan kesunyian yang dilalui arwah sepanjang dipenjarakan di Medan, Indonesia.
“Selepas arwah berada di Medan, kami tidak berhubung antara satu sama lain. Memang sedih mengenangkan dia melalui kesakitannya sendirian. Tiada siapa tahu apa sebenarnya yang dialami.
“Tapi sudah itu yang tertulis… Saya mendoakan yang terbaik buat arwah,” katanya.
Noorkhiriah pula menganggap Benjy pelakon gandingan terbaik pernah bekerjasama dengannya.

Bagaimanapun, Noorkhiriah tidak dapat mengulas lanjut kerana belum ada kekuatan mengulas mengenai pemergian mengejut sahabatnya itu.
“Arwah adalah pelakon gandingan terbaik buat saya. Kami pernah tiga kali bekerjasama termasuk Kerana Cintaku Saerah,” katanya ringkas.
Terdahulu, Noorkhiriah memuat naik sedutan video drama bersiri itu sebagai tanda ingatan untuk sahabatnya.
“Nomi tak tunggu Jibek lagi. Nomi doakan Jibek bahagia di rumah baharu… Al-Fatihah sahabat,” luahnya di Instagram.
Kredit: Berita Harian