KUALA LUMPUR: Komposer dan penyanyi, Altimet melancarkan misi mengesan bendera putih menggunakan khidmat penghantar makanan bagi membantu golongan memerlukan.

Misi itu yang dijayakan bersama syarikat @odamakanmy meronda sekitar Ampang, Lembah Keramat dan Gombak setiap hari sejak awal bulan ini, bagi mengesan rumah yang dipasang ‘bendera putih’.

Altimet berkata, pada mulanya, misi itu mahu digerakkan setiap Jumaat sehingga tiada bendera putih di kesan di kawasan sasaran.

“Namun, disebabkan terlalu ramai yang terkesan dan memerlukan bantuan, kami lakukan rondaan setiap hari sedaya mampu.

“Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), misi mengagihkan pek sumbangan dilakukan ‘rider’ atau penghantar makanan @odamakanmy.

“Mereka melakukannya tanpa bayaran. Bayangkan, ketika ‘rider’ bergelut mencari rezeki, mereka juga berniat membantu orang dalam kesusahan.

Altimet melancarkan misi mengesan bendera putih di Ampang, Lembah Keramat dan Gombak bagi membantu insan memerlukan. Foto IG Altimet
Altimet melancarkan misi mengesan bendera putih di Ampang, Lembah Keramat dan Gombak bagi membantu insan memerlukan. Foto IG Altimet

“Saya sebak dengan usaha dan sokongan mereka terhadap misi ini. Semoga Tuhan memudahkan rezeki mereka dan kita semua,” katanya kepada BH Online.

Altimet atau nama sebenar, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad meminta orang ramai yang memerlukan bantuan agar tidak segan mengibarkan bendera putih.

“Tidak perlu malu… Kami tidak mahu rakam gambar mereka yang dibantu. Kami juga tidak mahu rakam foto sendiri dan muat naik dalam media sosial.

“Kami jiran dan saudara kamu… Kalau kami tidak menolong kalian, siapa lagi?” katanya.

Sementara itu, komposer dan penyanyi, Naim Daniel mengambil inisiatif menyediakan ‘food bank’ di beberapa lokasi di Semenyih.

“Idea ini tercetus secara spontan. Saya mula merancang membeli barang untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya mula mencari tempat sesuai dan berjumpa sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, Semenyih yang belum ada ‘food bank’. Lalu saya minta izin untuk menyediakan kemudahan itu dan kebetulan, mereka juga ada perancangan sama,” katanya.

Naim berkata, usahanya itu dibantu kenalan rapat dan dia belum sedia menerima sumbangan wang pengikut berikutan bimbang tidak mampu melakukannya sendirian.

Pada 7 Julai lalu, penyanyi Sembah itu menganjurkan Misi Foodband Semenyih 2.0 di lokasi berkenaan.

“Jika ada kesempatan dan rezeki, saya akan anjurkan misi sama lagi,” katanya.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *