KUALA LUMPUR: Hari pertama bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, penyanyi Syafiq Farhain belajar banyak perkara baharu.

Syafiq yang juga anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) teruja mendapat tugasan itu selamat lama bekerja dari rumah.

“Ini hari pertama saya bertugas di MAEPS. Saya cukup teruja kerana tidak pernah turun padang melakukan kerja begini. Sekurang-kurangnya, apabila dapat peluang ini, saya timba pengalaman dan belajar perkara baharu.

Selepas lama bekerja dari rumah, Syafiq teruja bertugas di MAEPS. Foto IG Syafiq Farhain
Selepas lama bekerja dari rumah, Syafiq teruja bertugas di MAEPS. Foto IG Syafiq Farhain

“Sebelum ini, kami bekerja dari rumah. Jadi, apabila dapat tugas khas dari jabatan, saya cukup terbuka. Apatah lagi, tugas ini memenuhi skop pekerjaan sebagai anggota Bomba,” katanya kepada BH Online.

Syafiq atau nama penuh, Nursyafiq Farhain A M Salim, 27, berkata, dia dan kumpulan yang disertai lima anggota ditugaskan melakukan sanitasi kepada semua kenderaan seperti ambulans, bas dan van yang membawa pesakit COVID-19.

“Hari ini saya bertugas 24 jam dari jam 9 pagi tadi hingga 9 pagi esok.

“Saya fikir diri ini berguna juga. Jika hendak membantu pesakit COVID-19, saya tidak mampu termasuk dalam soal kebajikan. Inilah yang mampu saya buat dan diharapkan memadai,” katanya.

Syafiq turut berkongsi rakaman video bertugas di MAEPS melalui Instagram (IG) Story. Mengenakan persalinan persis pesakit, ramai menyangka penyanyi lagu Kau Bidadari itu menjalani kuarantin di pusat berkenaan.

Menjelaskan perkara itu, Syafiq berkata, dia terpaksa menyarung persalinan hospital kerana pakaian sepatutnya sudah kehabisan.

Tambah Syafiq, kenderaan yang memasuki MAEPS tidak putus-putus dan kerja sanitasi perlu dilakukan setiap masa.

“Kes jangkitan COVID-19 memang banyak. Malah, kenderaan yang sampai di sini tidak putus-putus. Saya nasihatkan orang ramai agar terus duduk di rumah dan keluar apabila perlu sahaja,” katanya.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *