KUALA LUMPUR: Menyudahkan rakaman versi baharu single, Kabut Serangkai Mawar 2021 ciptaan sifu muzik, Datuk M Nasir, Mafarikha teringin bertemu penyanyi asal lagu ‘berhantu’ itu, Zaiton Sameon.

Mafarikha yang disunting M Nasir untuk merakamkan lagu itu, Disember tahun lalu, belum pernah bersemuka dengan Zaiton yang diperkenalkan ibunya yang juga peminat penyanyi bersuara lantang era 1980-an itu.

“Emak cukup meminati Zaiton. Single Menaruh Harapan menjadi antara lagu kegemaran emak dan saya kenal Zaiton melalui lagu ini.

“Namun, saya belum pernah berjumpa Zaiton. Namun, filem berkisar kisah hidupnya, Zaiton Ceritaku menjadi antara filem kegemaran saya.

Mafarikha anggap dirinya bertuah disunting M Nasir untuk merakamkan versi baharu lagu Zaiton, Kabut Serangkai Mawar. Foto Ihsan Mafarikha
Mafarikha anggap dirinya bertuah disunting M Nasir untuk merakamkan versi baharu lagu Zaiton, Kabut Serangkai Mawar. Foto Ihsan Mafarikha

“Zaiton adalah legenda seni suara,” katanya kepada BH Online.

Mafarikha atau nama penuh, Mafarikha Md Akhir berhajat mengundang Zaiton atau mesra disapa Kak Eton tampil dalam video muzik single berkenaan.

“Kalau ada kesempatan dan rezeki merakamkan video muzik, saya mahu tampilkan Kak Eton.

“Sepatutnya, video muzik boleh dirakamkan, namun, disebabkan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, semua kerja tergendala,” katanya.

Berkongsi pengalaman merakamkan semula lagu hit, Kabut Serangkai Mawar, Mafarikha mengaku sangat mencabar dan menguji kemampuan diri.

“Saya cukup bertuah dapat menyanyikan karya emas ini. Apatah lagi, single ini dirakamkan secara langsung.

“Saya mengambil mengambil tempoh yang lebih panjang untuk merakamkan lagu ini berbanding single lain.

“Inilah lagu paling sukar untuk saya rakamkan. Apabila tempo lagu diturunkan, saya kena kekalkan ‘note’ lebih lama,” katanya.

Mafarikha berkata, dia berusaha memahami lirik lagu berkenaan demi menghidupkan penyampaian.

“Saya cuba menjiwai bait lirik lagu ini daripada pengalaman hidup yang jarang dikongsi. Apabila kita gembira, kita akan menikmati lagu itu. Tapi apabila sedih, kita akan memahami liriknya

“Saya buat penyelidikan mengenai lagu ini dan fahami liriknya. Kebetulan, jalan ceritanya sama dengan apa yang pernah saya lalui,” katanya yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman, Luncai Emas milik M Nasir.

Ditanya pengalaman bekerja dengan M Nasir, Mafarikha menyifatkan maestro muzik itu insan suka berjenaka.

“Bagi saya, M Nasir penuh dengan sisi kelakar. Barangkali, ada yang gementar berdepan dengan beliau.

“Saya tidak takut, cuma, bagi saya, M Nasir ada figura ayah yang pandai bergurau,” katanya.

Sementara itu, M Nasir memuji cara penyampaian Mafarikha dalam single Kabut Serangkai Mawar.

“Mafarikha membawa lagu itu ke tahap tersendiri. Saya anggap vokalnya sedap dan unik.

“Insya-Allah, jika ada rezeki, saya mahu cipta lagu baharu untuknya,” katanya.

Bagi versi baharu Kabut Serangkai Mawar, Ashraf Aasimudin dipilih Mafarikha untuk menjadi penerbit.

Sebelum ini, Mafarikha pernah merakamkan single seperti Tiba, Pintu Hati, Derhaka, Tolong dan Jujur Saja Sayang.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *