KUALA LUMPUR: Drama bersiri, Kekasih Hati Mr Bodyguard yang sedang disiarkan di slot Lestary TV3 terpaksa dihentikan tayangannya, sejak semalam berikutan baki penggambaran tidak sempat disiapkan sepenuhnya.
Ia ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang berkuatkuasa sejak 1 Jun lalu.
Lalu, tayangan drama arahan Nizam Zakaria yang diterajui Redza Rosli dan Sharifah Rose itu terpaksa ditangguhkan. Sebagai ganti, slot itu diisi dengan drama ulangan, Kebaya Kasut Kanvas lakonan Nabila Razali, Fahrin Ahmad dan Rozita Che Wan.
Nizam berkata, keputusan itu dibuat apabila beberapa babak yang memerlukan penggambaran di kawasan luar belum sempat diselesaikan berikutan sekatan pergerakan penuh dilaksanakan.
- Duduk di rumah tonton TV3, TV9
- Kilafairy enggan promosi drama tak bertudung?
- Aidit aktif berlakon semula
- Michael Ang bengang
Biarpun sedih dan sedikit terkilan, namun Nizam menghormati prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan akan memulakan penggambaran sebaik dibenarkan.
“Sebenarnya, kami terpaksa menangguh tayangan disebabkan sekatan pergerakan penuh. Ada beberapa babak yang perlu dirakam di kawasan luar tidak sempat dibuat. Sebelum ini, kami hanya sempat menjalani penggambaran dalam rumah sahaja berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Jadi, terpaksa tayangan ditangguhkan dahulu. Setakat ini, hanya sempat disiarkan hingga episod kesembilan. Baki penggambaran dalam 20 peratus lagi sebenarnya.
“Memang sedih, tetapi nak buat macam mana. Kita kena hormat dan patuh SOP yang ditetapkan. Insya-Allah, sebaik sahaja SOP baharu keluar dan dibenarkan semula penggambaran, kami akan meneruskannya,” katanya.
Tambah Nizam, dia percaya ada hikmah di sebalik sekatan pergerakan penuh ini.
“Insya-Allah, plot cerita drama ini akan jadi lebih menarik lepas ini,” katanya.
Terdahulu, syarikat produksi Creative Skill Solution menerusi laman Instagram (IG) mengumumkan siaran drama Kekasih Hati Mr Bodyguard terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.
Dalam pada itu, Nizam berkata, dia tidak menjangkakan drama Kekasih Hati Mr Bodyguard mendapat maklum balas yang positif, biarpun lakonan Sharifah Rose menerima kritikan hingga dilabel kayu.
Menerusi kaca mata sebagai seorang pengarah, Nizam memuji lakonan pelakon bertudung itu.
Malah, dia juga melihat pelakon yang juga Instafamous itu seperti pelakon Zahirah MacWilson yang kini berjaya dalam dunia lakonan.
“Saya tidak menjangkakan drama ini menjadi perhatian. Apabila siaran ditangguh, ramai peminat menghantar mesej langsung dalam media sosial.
“Ramai juga peminat menghantar mesej positif mengenai drama ini. Malah, ada antaranya mempersoalkan kritikan lakonan kayu Sharifah Rose. Ini kerana mereka lihat lakonannya bukanlah kaku sangat.
“Bagi saya, Sharifah Rose okay sahaja bagi kategori pelakon baharu. Walaupun baru, tetapi dia boleh menghafal dialog tiga hingga empat muka surat. Berilah dia peluang, jika tiada generasi baharu, ia akan membunuh industri juga.
“Apabila melihat Sharifah Rose, saya rasa perasaan yang sama ketika kali pertama Zahirah berlakon dalam drama arahan saya. Dengan pakej rupa yang ada, dia boleh pergi jauh,” katanya.
Kredit: Berita Harian