Kuala Lumpur: Pelakon Catriona Ross langsung tidak terkesan atau terasa hati dengan bekas anggota kumpulan nasyid InTeam, Suhaimi Saad yang membidasnya di media sosial selepas dia menyelar sikap segelintir rakyat yang senang-senang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam satu hantaran video di Instagram, baru-baru ini.
Catriona ketika dihubungi berkata, dia tidak pernah kenal siapa Suhaimi sehinggalah mendapat pelbagai maklum balas daripada keluarga, rakan, kenalan, saudara-mara termasuk dalam kalangan pengguna media sosial sendiri.
“Pada permulaannya, saya memang tak tahu dia siapa (Suhaimi). Tapi, selepas mendapat tahu bahawa dialah orang yang mempercayai bahawa bumi ini leper, anti vaksin dan pelbagai isu lagi, saya gelak sajalah.
“Ditambah, Allahyarham ibu saya ada mengajar bahawa Imam Shafie pernah berkata, “aku rela berdebat dengan seorang yang bijak pandai daripada orang yang tidak tahu apa. Kata-kata ini sudah saya pegang sejak kecil lagi,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Catriona yang mesra disapa Kak Kek, apabila sudah mengetahui pelbagai cerita berkaitan Suhaimi, maka dia menyifatkan individu itu bukanlah orang yang patut disembang-sembang lagi.
“Individu seperti ini dia sudah ada kepercayaan sendiri yang memang tak boleh diubah. Biarkan saja dia hidup dalam dunianya sendiri. Jadi, terserah pada dia dengan cara kehidupannya.
“Bagaimanapun, dalam video saya itu apa yang diperkatakan mengikut fakta. Daripada pemerhatian saya dengan keadaan yang berlaku termasuk perkongsian yang dibuat oleh petugas barisan hadapan. Kasihan pada mereka,” katanya.
Ditanya mengenai tindakannya yang tampil meninggalkan komen pada hantaran dibuat Suhaimi di Instagram, Catriona berkata, apabila terlalu banyak notifikasi yang masuk secara tidak langsung dia tanpa sengaja sudah terbalas komen berkenaan.
“Saya hanya menyedarinya sebaik saja individu itu membalasnya. Apapun, saya tiada niat langsung mahu cuba mewujudkan perbalahan dengannya di media sosial,” katanya.
Semalam, media melaporkan Suhaimi menerusi satu hantarannya di Instagram membidas tindakan Catriona yang menggelarkan sikap orang ramai tidak mematuhi larangan pulang ke kampung sebagai kurang bijak dan pentingkan diri.
Pada perkongsian ditulisnya, Suhaimi meminta Catriona memahami masalah dan keperluan masyarakat yang berbeza. Malah dia turut mengingatkan pelakon itu supaya tidak berasa terlalu megah dengan kenyataan yang sudah dikeluarkan.
Justeru, Catriona menerusi ruang komen di Instagram Suhaimi tampil bersuara meminta dia tidak panas hati dengan videonya jika tidak membuat sebarang kesalahan.
Baru-baru ini, Catriona dalam rakaman videonya di Instagram meluahkan rasa geram dengan sikap segelintir rakyat yang suka menyalahkan tindakan kerajaan tapi, realitinya mereka yang degil sekali gus bertindak melanggar peraturan ditetapkan.
Catriona juga terkilan dengan sikap segelintir masyarakat yang memenuhi lebuhraya untuk balik ke kampung selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) bermula semalam sehingga 14 Jun ini.
KREADIT : HARIAN METRO