KUALA LUMPUR: “Dia mempunyai figura seorang bapa dan sifat itulah yang membuatkan hati saya terbuka untuk menerima kehadirannya.”

Begitulah pengakuan penyanyi Datuk Nora Ariffin, 48, ketika mengulas mengenai individu melamarnya seperti yang didedahkan dalam sebuah portal berita, semalam.

Meskipun tidak berkongsi secara terperinci lelaki yang berjaya mencuri hatinya itu, Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Ariffin memaklumkan mereka adalah teman lama dan hubungan turut mendapat restu anak-anaknya.

“Sebelum ini, memang ada lelaki yang melamar saya, tetapi kebanyakan tidak disenangi anak-anak. Bukan mudah mencari pengganti Allahyarham Johan Nawawi yang menebal dengan sifat kebapaan.

“Kami berkenalan sudah lama ketika arwah Johan masih hidup. Untuk mencari pengganti, saya memerlukan seorang lelaki yang bukan sahaja boleh menjaga saya, tetapi anak-anak. Alhamdulillah, dia mempunyai sifat berkenaan. Pada usia sekarang, tidak mungkin saya mahu mencari calon suami lebih muda.

“Atas faktor itulah yang membuatkan hati saya terbuka menerima kehadirannya. Apa yang boleh dikatakan, dia adalah lelaki yang paling rapat dengan saya, ketika ini,” katanya kepada BH Online.

Nora menambah, buat masa ini, dia masih belum memberi jawapan terhadap lamaran lelaki itu, namun sudah berbincang dengan keluarga berhubung perkara berkenaan.

“Insya-Allah, niat ke arah itu sudah ada, cuma saya tidak berani mahu berjanji apa-apa. Bimbang jika terlalu diuar-uarkan tidak akan menjadi, nanti sendiri yang malu.

“Jika ada berita baik, saya pasti akan berkongsi dengan semua,” ujar penyanyi yang popular dengan lagu Hanya Satu ini.

Hubungan Datuk Nora Ariffin dengan teman lama yang melamarnya mendapat restu anak-anak. - Foto IG Nora Ariffin
Hubungan Datuk Nora Ariffin dengan teman lama yang melamarnya mendapat restu anak-anak. – Foto IG Nora Ariffin

Dalam pada itu, Nora turut menepis tanggapan nakal yang mengatakan cerita lamaran sengaja ditimbulkan untuk mengalih perhatian netizen mengenai isu pernikahan rahsia dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa seperti yang tular, baru-baru ini.

Walaupun kedua-duanya sudah membuat penafian, namun kisah itu kembali hangat diperdebatkan di laman Twitter apabila ada pihak mendedahkan salinan sijil pernikahan di Thailand yang didakwa milik pasangan itu.

“Cerita mengenai lamaran ini memang benar dan bukannya direka-reka untuk menutup perkara lain. Soal jodoh dan perkahwinan bukannya boleh dibuat main-main.

“Jujurnya, saya memang bercadang berkongsi kisah lamaran ini dalam masa terdekat. Namun, apabila ada media yang bertanyakan kesahihan surat nikah yang tersebar, saya terpaksa mendedahkan perkara ini lebih awal.

“Tujuannya untuk membuktikan yang saya tidak berkahwin dengan Annuar. Selain itu, pendedahan ini juga dibuat supaya tidak ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan status balu dengan menghantar mesej lucah dalam laman sosial,” dedah ibu kepada empat cahaya mata ini.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *