KUALA LUMPUR: Selepas sembilan tahun, drama bersiri, Adam & Hawa yang pernah mencetus fenomena diterbitkan dalam versi filem dengan judul Dekatnya Cinta.
Biarpun sudah sembilan tahun berlalu, drama bersiri pertama yang diterbitkan dalam format definisi tinggi itu masih diperkatakan, sekali gus menjadikannya karya malar segar.
Gandingan mantap Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada 2011 dan 2013, Datuk Aaron Aziz dan Pelakon Harapan Wanita, Festival Filem Malaysia Ke-24, Nadiya Nisaa antara daya tarikan utama drama berkenaan.
Kebanyakan penonton tidak boleh ‘move on’ dengan watak Ain Hawani dan Adam Mukriz hingga kedua-dua pelakon itu masih dipanggil dengan nama karakter mereka.
- Tak payah rapat, berlatih di set cukup
- Filem Love, Supermoon berjaya hiburkan penonton
- Nadiya Nisaa semakin pulih, sedia kembali berlakon
- Farid Kamil antara ‘wishlist’ pelakon kegemaran Nadiya Nisaa
Filem bergenre romantik terbitan Global Station itu turut menampilkan Farah Nabilah, Datuk Fazley Yaakob dan Nadya Syahera. Ini adalah kemunculan pertama Farah selepas berehat seketika memberi tumpuan kepada rumah tangga dan kelahiran cahaya mata.
“Ia satu penghargaan besar apabila kembali menyatukan saya dengan Nadiya dan menghidupkan semula antara naskhah yang mengangkat nama saya di Malaysia.
“Saya berharap filem ini mampu melepaskan kerinduan peminat terhadap kemunculan kami.
“Sudah sembilan tahun drama ini berlalu, ia bukan tempoh pendek. Namun, saya bersyukur atas inisiatif syarikat produksi dan Astro First menerbitkan dalam versi filem. Moga berhasil, apatah lagi, Syawal hanya diraikan di rumah,” kata Aaron.
Untuk versi filem, Feroz Kader masih diberi kepercayaan sebagai pengarah.
Lebih menarik, filem Dekatnya Cinta memuatkan beberapa babak romantik sedutan drama 80 episod terdahulu yang pasti dapat mengimbau semula momen cinta Ain dan Adam Mukriz.

“Tidak cukup itu, lagu tema popular Adam & Hawa bertajuk Muara Hati, nyanyian penyanyi tersohor, Datuk Sri Siti Nurhaliza bersama Hafiz Suip sekali lagi mengiringi babak meruntun jiwa dalam filem,” kata Penerbit Eksekutif, Zetty Alia Ramly.
Zetty berkata, pihaknya berharap kehadiran filem berkenaan dapat memuaskan hati peminat yang sudah lama menantikan karya berkenaan dibawa ke layar perak.
“Selepas tercetus fenomena luar biasa, impak masih dirasai sehingga sekarang. Ada peminat masih bercakap dan mengharapkan kesinambungan drama ini.
“Atas sokongan positif peminat, Global Station membawa kesinambungan kisah percintaan Ain dan Adam Mukriz menerusi filem pula.
“Namun, ia menyaksikan sisi berbeza Ain dan Adam Mukriz selepas berumah tangga dan dikurniakan cahaya mata. Walaupun kesinambungan daripada drama, namun filem ini menampilkan naratif yang baharu.
“Kami harap filem Dekatnya Cinta dapat mengubati rindu peminat drama Adam & Hawa serta mengulangi kejayaan seperti versi drama,” katanya.
Dekatnya Cinta mengisahkan pasangan suami isteri, Adam Mukriz dan Ain hidup bahagia sehinggalah hadir orang ketiga, Zulaika lakonan Farah.
Adam Mukriz mula beralih arah kerana Ain tidak dapat memberi tumpuan pada keluarga disebabkan sibuk dengan kerjaya dan menyambung pengajian.
Keadaan bertambah rumit apabila Adam Mukriz ternampak Ain menerima sejambak bunga bersama Profesor Yusoff (Fazley Yaakob). Diselubungi rasa marah dan cemburu, Adam Mukriz melafazkan cerai. Bermulalah perjalanan hidup baharu buat mereka dalam berdepan dengan pelbagai dugaan.
Filem Dekatnya Cinta menemui penonton menerusi Astro First, saluran 480 sejak 13 Mei lalu.
Kredit: Berita Harian