KUALA LUMPUR: Sepuluh tahun berkelana di Amerika Syarikat (AS), penyanyi, Yuna, 34, sangat prihatin terhadap isu perkauman yang hangat diperkatakan di negara Uncle Sam itu.

Tanpa berfikir dua kali, Yuna atau nama sebenar, Yunalis Mat Zara’ai menzahirkan sokongan kepada gerakan ‘Stop Asian Hate’ sebagai tanda solidariti kepada rakan serumpun yang selama ini banyak berjasa terhadap pembangunan kariernya di AS.

“Secara jujur, tragedi di Atlanta yang membabitkan serangan ke atas enam mangsa keturunan Asia, baru-baru ini, memberi kesan kepada saya.

“Kita tidak melalui perkara seperti itu di Malaysia tetapi ini adalah realiti di AS. Ini secara tidak langsung memberikan ketakutan kepada komuniti Asia-Amerika,” katanya kepada BH Online.

Yuna berkata, komuniti Asia-Amerika berdepan isu perkauman sejak beberapa tahun lalu.

“Apatah lagi Presiden AS yang terdahulu ada menyatakan perkara ini dalam ucapan yang membibitkan perasaan benci terhadap orang Asia.

“Contohnya seperti virus COVID-19 yang dikategorikan sebagai virus China. Ini secara tidak langsung membibitkan kebencian kepada rakyat.

“Apabila enam orang keturunan Asia ditembak, ia seperti memberi tanda bahawa perkara ini serius,” katanya.

Sehubungan itu, sebagai wanita Asia berhijab yang menetap di AS, Yuna bertanggungjawab memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai isu perkauman.

“Sepuluh tahun saya di AS. Saya bukan sahaja muslim, malah wanita Asia yang berhijab. Jadi, saya perlu menyokong gerakan ‘Stop Asia Hate’ dan berjuang bersama mereka. Orang Asia adalah orang saya.

“Sejak sejak saya menetap di AS, komuniti Asia-Amerika inilah yang banyak menyokong karier saya. Seperti saya boleh lihat di setiap persembahan di mana dihadiri 70 peratus orang Asia-Amerika dan 30 peratus peminat kulit hitam.

“Mereka yang sentiasa meletakkan kepercayaan kepada saya dan muzik saya. Disebabkan itu, apabila mereka perlukan, saya sentiasa ada,” katanya.

Yuna bersama suaminya, Adam Sinclair tidak berhasrat pulang ke Amerika Syarikat berikutan keadaan belum selamat disebabkan pandemik COVID-19.
Yuna bersama suaminya, Adam Sinclair tidak berhasrat pulang ke Amerika Syarikat berikutan keadaan belum selamat disebabkan pandemik COVID-19.

Ditanya apakah benar mengalami gangguan atau serangan perkauman sejak menetap di AS, Yuna mengaku tidak berkecuali cuma tidak serius.

“AS adalah negara yang mencabar. Tapi saya tidak suka membuatkan perkara seperti itu menjatuhkan semangat dan menghalang daripada bekerja.

“Perkara itu juga tidak menyebabkan saya berhenti daripada terus menonjolkan bakat. Namun, saya tetap mengambil langkah berjaga-jaga. Ini termasuk memastikan saya tidak tidak berjalan seorang diri pada waktu malam,” katanya pada majlis pelancaran koleksi hijab Putri N Rex dan Yuna secara virtual, semalam.

Dalam perkembangan lain, Yuna tidak berhasrat pulang ke AS dalam tempoh terdekat, sebaliknya, giat menyiapkan album baharu di Malaysia.

“Saya ada perancangan hendak pulang ke AS, tetapi, bukan sekarang. Saya fikir belum selamat untuk saya dan suami berbuat demikian.

“Kami akan tunggu sehingga disuntik vaksin, barulah yakin ke sana. Sekarang saya sedang menikmati masa saya di sini.

“Lagipun, saya sedang menyiapkan album kelima untuk keluaran AS. Album terakhir saya dikeluarkan pada 2019, jadi saya tak mahu mengambil jurang masa terlalu panjang untuk album baharu.

“Jarak tidak mendatangkan masalah untuk saya menyiapkan album ini. Semuanya boleh dilakukan atas talian. Insya-Allah, album ini akan dilancarkan akhir tahun ini,” katanya.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *