SHAH ALAM: Momen Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-29, enam tahun lalu berulang apabila lagu bergenre rap kembali merampas kedudukan juara.
Jika pada 2015, lagu Apa Khabar nyanyian Joe Flizzow dan SonaOne diangkat sebagai Juara Lagu, malam kelmarin, Gila mengungguli trofi idaman ramai itu.
Selepas beberapa tahun lagu berentak balada dan pop diangkat sebagai pemenang, barisan juri berpendapat sudah tiba masanya untuk mereka mencari sebuah lagu berbeza dan segar menjadi juara.
Memperincikan keputusan dibuat, ketua juri, Datuk Mokhzani Ismail menjelaskan, lagu ciptaan Ezra itu menepati kriteria iaitu berkualiti dan bukan bersandarkan kepada populariti semata-mata.DISYORKAN UNTUK ANDA
- SFMM35 : Hati dendangan Hael lagu terbaik
- Hael ganti Nabila demi persahabatan
- Lagu Gila juara AJL35
- AJL35 ‘trending’ persembahan pembukaan
“Saban tahun, AJL menghimpunkan pelbagai kategori lagu iaitu pop, balada, pop komersial dan pelbagai lagi.
“Tugas juri adalah mencari komposer yang mampu menghasilkan karya luar kotak sebagai pemenang.
“”Adalah menjadi tanggungjawab juri menilai sesebuah lagu itu daripada segala segi.
“Kita tidak boleh menilai lagu mengikut cita rasa muzik yang kita suka. Penerimaan orang terhadap sesebuah lagu itu juga berbeza.
“Ada yang suka kerana kualitinya dan ada yang minat penyanyi. Kita tidak boleh nilai berdasarkan populariti.
“Justeru saya minta juri untuk memilih pemenang berdasarkan kriteria yang ditetapkan,” katanya.
Mokhzani berkata, Gila dipilih kerana komposer berani membuat pembaharuan.
“Lagu itu agak kompleks daripada sudut teknikal pembikinannya tetapi tidak mengetepikan aspek komersial.
“Melodinya juga sarat dengan elemen kemelayuan. Itu yang membuatkan ia unik,” katanya.
Keistimewaan lagu yang disampaikan Kaka Azraff, Loca B dan Noki itu bukan sahaja terletak kepada melodi, sebaliknya, Mokhzani berkata, lirik dan keserasian kukuh antara penyanyi turut menyumbang kepada kejayaan.
“Saat melihat judul lagu ini, kami memang terkejut. Namun, sebaik kami mendalami liriknya, ia merangkumi apa yang berlaku pada dunia hari ini.
“Lagu ini menonjolkan semangat penyatuan dan mengajak kita sama-sama mengharungi perjalanan hidup yang mencabar.

“Ini sesuai dengan situasi semasa iaitu berdepan dengan ancaman pandemik. Percaturan menyatukan penyanyi bersama dua rapper hebat turut mempamerkan keserasian mereka sekali gus melonjakkan lagu itu,” katanya.
Mokhzani tidak menafikan lagu lain ada kekuatan tersendiri hingga sukar memilih pemenang.
Namun, Pengarah Muzik Orkestra RTM ini berkata, keberanian mencipta pembaharuan dalam karya paling dititikberatkan.
Mohzani turut memuji usaha Hael Husaini dan Ezra menghasilkan lagu Belenggu Rindu yang disifatkannya sebagai untaian indah terjemahan generasi muda.
Mengulas pemilihan Ernie Zakri sebagai pemenang Vokal Terbaik, beliau menjelaskan penyanyi Gundah itu mempunyai kelebihan dari aspek kawalan suara.
“Untuk kategori ini, kita menyenaraikan empat penyanyi berpotensi iaitu Ernie, Aina Abdul, Aishah dan Amir Masdi. Bagaimanapun, jurang markah antara juara dan tempat kedua tidak banyak bezanya.
“Sebagai guru vokal, Ernie bijak mengawal vokalnya. Nyanyiannya sangat konsisten dari awal hinggalah ke akhir persembahan. Tidak semua yang mampu menarik nada tinggi sempurna nyanyiannya.
“Cara nyanyian sebegitu sangat berisiko andai si penyanyi hilang fokus. Mungkin pada pendengaran biasa, nyanyiannya sedap. Tetapi bagi penilaian juri, ada banyak kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya.
Kali pertama dianjurkan dalam suasana norma baharu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Datuk Khairul Anwar Salleh mengaku cabaran besar menanti penganjur.
“AJL bukanlah seperti acara anugerah lain yang hanya menyampaikan trofi kemenangan.
“Jadi, sudah tentu penganjurannya agak berbeza kerana persembahan adalah elemen utama.
“Meskipun berdepan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, kita tetap memberi sedikit kelonggaran kepada peserta supaya kreativiti mereka untuk memberikan persembahan terbaik yang menawarkan ganjaran lumayan tidak disekat,” katanya.
Selain Mokhzani, persembahan 12 finalis AJL35 diadili sembilan juri profesional termasuk Azmeer, Ajai, Datuk Syafinaz Selamat, Edrie Hashim, Helen Yap, AG Coco, LY, Datuk Acis dan Lukhman S.
Kredit: Berita Harian