KUALA LUMPUR: Setahun terperam akhirnya single Jam menyaksikan kolaborasi tiga karyawan, Art Fazil, Imuda dan Andy Flop Poppy dilancarkan bulan ini.

Memilih judul ringkas, single Jam berkisarkan kesesakan lalu lintas di ibu kota. Cetusan idea Art Fazil, single berkenaan mengetengahkan irama blues ‘old school’.

Penyanyi dan pemuzik kelahiran Singapura itu mendedahkan single Jam diilhamkan daripada pengamatannya terhadap gaya hidup warga metropolitan.

“Keluhan teman yang sering tersangkut dalam kesesakan lalu lintas ketika pergi dan pulang daripada tempat kerja, ada pula ibu bapa tersangkut ketika menghantar dan mengambil anak sekolah, begitu juga kesesakan yang terpaksa ditempuhi ketika musim perayaan menjadi ilham dalam penghasilan lagu ini.DISYORKAN UNTUK ANDA

“Single Jam ini ditulis dari sudut pandang mengenai kehidupan di kota. Ia disampaikan secara santai bersesuaian dengan irama muzik blues yang diketengahkan. Manakala, menerusi video muzik, saya menggambarkan keadaan kesesakan jalan raya, tetapi diolah dengan konsep santai dan humor,” katanya Art Fazil kepada BH Online.

Menurutnya, single Jam tidak hanya sesuai untuk warga kota, tetapi relevan kepada warga Bangkok, Thailand dan Jakarta, Indonesia yang turut mengalami masalah sama.

“Saya berharap single Jam dapat diputarkan setiap pagi di corong radio ketika warga kota keluar mencari rezeki. Rentak muzik rancak amat sesuai untuk menaikkan semangat pendengar, lebih lagi selepas kembali bekerja selepas tiada lagi fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Idea merakamkan single Jam sudah lama dirancang iaitu selepas melancarkan lagu Rilek Brader pada 2013 dan Orang Baik-Baik pada 2015.

Faktor persahabatan membuatkan Art Fazil memilih bekerjasama dengan Imuda dan Andy Flop Poppy.
Faktor persahabatan membuatkan Art Fazil memilih bekerjasama dengan Imuda dan Andy Flop Poppy.

Berkongsi kolaborasi bersama Imuda dan Andy, Art Fazil menjelaskan, faktor persahabatan dan senang bekerjasama membuatkannya memilih untuk menjalin usaha sama.

“Imuda dan Andy ada ‘cool factor’, kerana itu saya memilih untuk bekerjasama bersama mereka. Imuda dikenali dengan identiti sebagai pelukis, pemain muzik blues dan pelawak. Manakala, Andy pula bersama kumpulan Flop Poppy serta berkebolehan bermain pelbagai jenis alatan muzik.

“Muzik bass dalam single Jam dimainkan Andy, manakala bahagian harmonika pula dimainkan Imuda. Saya mula akrab dengan Imuda ketika merakamkan lagu Rilek Brader.

“Kami tidak sangka lagu Rilek Brader berjaya mendapat satu juta tontonan di laman YouTube dalam tempoh yang singkat. Saya pula mengenali Andy ketika menetap di London pada 2004, dia datang menjalani penggambaran dokumentari. Selepas itu, kami sering bekerjasama dalam projek Caravan of Praise dan sering membuat persembahan terutamanya untuk lagu berunsur selawat,” katanya yang sempat merakamkan lagu selawat berjudul Kerana Mu (Ya Nabi Salam Alaika) pada 2018.

Bagi Andy, dia menerima tawaran Art Fazil kerana tertarik dengan suntikan muzik blues dan rock roll yang diketengahkan. Namun, apa yang lebih penting peluang bekerjasama dengan Art Fazil dan Imuda.

“Mereka berdua adalah legenda. Selain itu, saya mahu mencabar diri dan cuba keluar daripada zon selesa,” katanya.

Bagi penyanyi dan pelawak Imuda, single Jam kena dengan cita rasa bluesnya.

Katanya, dia sudah beberapa kali bekerjasama dengan Art Fazil dan dapat merasakan keserasian.

Berkongsi pengalaman menjalani penggambaran video muzik Jam pula, Imuda berkata, dia seronok dapat mengelilingi ibu kota dengan mengharung kesesakan lalu lintas demi menyiapkan video muzik berkenaan.

“Satu hari suntuk kami menjalani penggambaran yang dilakukan secara santai mengelilingi Kuala Lumpur dalam keadaan waktu kemuncak. Kami duduk di belakang pacuan empat roda dan seronok apabila ramai memberi isyarat tangan, melambai dan merakamkan foto dan video,” katanya.

Video muzik Jam boleh ditonton melalui saluran YouTube Moro Records.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *