PUTRAJAYA: Dengan sekali lafaz, Risteena Munim sah bergelar isteri kepada jejaka pilihan hati, Isa Khan pada majlis pernikahan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, kira-kira jam 10.30 pagi tadi.
Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Zainul Ilyas Zainul Abidin.
Majlis serba ringkas yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) itu dihadiri keluarga dan teman rapat mempelai.
Majlis itu turut menyaksikan pengantin perempuan menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima dulang, selain menerima mas kahwin bernilai RM1,000.
- Miller Khan bertunang dengan pereka fesyen
- Yuna, Adam Sinclair kini suami isteri
- Engku Emran, Bella selamat diijab kabul
- Elvina sah isteri usahawan berpangkat Datuk
Bagaimanapun, jumlah wang hantaran tidak diumumkan.
Berkongsi perasaan, Risteena yang anggun menyarung busana rekaan Ezuwan Ismail yang turut menyediakan persalinan Isa, bersyukur majlis lancar.
“Tadi, sebelum akad nikah, jantung saya berdegup laju. Tetapi selepas selesai majlis, lega sikit.
“Alhamdulillah, segala-galanya dipermudahkan. Saya dan suami mengecap fasa baharu dalam ikatan perkahwinan.

“Insya-Allah, kami akan melayari bahtera rumah tangga ini dengan sebaik mungkin,” katanya kepada BH Online.
Mengenai Isa, kakak kepada pelakon Ruhainies itu menyifatkan suaminya bersungguh-sungguh menghalalkan hubungan mereka.
“Selain kesungguhan diri, kejujuran hatinya membuatkan saya yakin,” katanya.
Sempena hari bersejarah, Isa merakamkan lagu berjudul Karunia Terhebat sebagai simbolik kisah cinta mereka.
Menurut pelakon dan penyanyi yang juga adik kepada aktor, Miller Khan itu, lagu berentak pop balada itu dicipta sahabatnya, Ayid Sidki.
“Lagu ini adalah gambaran kisah cinta kami. Saya tujukan khas buat isteri… Insya-Allah,” katanya yang menghasilkan sendiri lirik lagu berkenaan.
Isa atau nama penuh, Mohammad Fara Aidid Ali Dad Khan berharap dapat membahagiakan isterinya, sampai bila-bila.
“Dia wanita hebat. Cinta dan kebahagiaan yang diberikan kepada saya selama ini, sangat luar sangat biasa. Saya tidak mahu mempersia-siakannya.
“Saya hargai apa yang dilakukannya,” katanya.
Risteena dan Isa berkenalan ketika menerajui drama Bulan Di Kota Langit yang disiarkan TV Okey, pada 2019.
Mereka mengikat tali pertunangan pada 23 November 2019 selepas lima bulan berkenalan.
Mengikut perancangan asal, pasangan ini sepatutnya bernikah pada 20 November lalu, iaitu sehari selepas Risteena genap 30 tahun.
Namun, pandemik COVID-19 menyebabkan perancangan ditangguhkan.
Malam ini, pasangan mempelai akan diraikan pada majlis resepsi di sebuah premis acara di Kuala Lumpur.
Kredit: Berita Harian