KUALA LUMPUR: Lagu Gundah disifatkan karya yang cukup bermakna dalam hidup penyanyi, Ernie Zakri.
Bukan hanya lagu pertama ciptaan Ernie bersama komposer, Sharon Paul, malah karya itu juga berjaya membolosi Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL35), Ahad ini.
“Lagu Gundah sangat istimewa di hati saya kerana dicipta buat arwah datuk dan nenek. Ia berkaitan rasa kehilangan bercampur perasaan gundah.
“Ia satu perasaan di mana tidak dapat lagi memeluk atau berjumpa dengan arwah yang disayangi kerana sudah meninggalkan saya buat selama-lamanya.DISYORKAN UNTUK ANDA
- ‘Bukan tak bagus…’
- SFMM35 : Hati dendangan Hael lagu terbaik
- Ernie ajar Eira menyanyi
- Hael ganti Nabila demi persahabatan
“Saya menangis mengenangkan arwah datuk dan nenek setiap kali berbincang dan membuat persiapan AJL35,” katanya kepada BH Online.
Ernie berkata, lagu Gundah sudah lama diperam sebelum diterbitkan kerana pelbagai perasan tidak pasti.
“Walaupun sudah lama menghasilkannya, saya diselubungi pelbagai perasaan seperti kurang yakin dan malu.
“Namun, akhirnya saya memberanikan diri bekerjasama dengan Sharon hingga lagu Gundah membawa tuah kepada saya,” katanya.

Ernie berkata, besar harapannya jika juri profesional menilai bukan hanya kemampuan vokal dimiliki, namun roh kepada lagu berkenaan.
“Jika dimurahkan rezeki, saya juga mahu lagu Gundah mendapat tempat dalam AJL35 dalam kategori Lagu Terbaik atau Persembahan Terbaik.
“Namun, apapun saya tetap memberikan persembahan terbaik pada malam kemuncak, Ahad ini.
“Lagu Gundah ini bersalut kesedihan dan duka, saya mahu penonton merasai emosi dan getaran vokal yang diberikan.
“Saya hanya akan berdiri seorang diri dengan diiringi petikan piano oleh Aubrey Suwito. Tiada prop lain di atas pentas,” katanya.
Tambah Ernie lagi, tunangnya, Syamel menjadi tulang belakang dengan memberi idea untuk mencantikkan persembahan.
“Sebelum ini, jika ada persembahan atau pertandingan skala besar, boleh kata 90 peratus idea datang daripada Syamel.
“Sekalipun tak terbabit dalam AJL35, Syamel tidak lokek memberi idea dan sokongan,” katanya yang dijangka mendirikan rumah tangga, cuma belum dapat mengesahkan tarikh tepat, tahun ini.
Kredit: Berita Harian