Kuala Lumpur: Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) merayu kepada kerajaan untuk membenarkan aktiviti penggambaran luar studio dengan kadar segera.
Presidennya, Pansha berkata, kelulusan itu demi kelangsungan hidup semua syarikat penerbitan filem dan televisyen yang mengalami kerugian besar untuk menyiapkan penerbitan yang sudah lama tertangguh dan terpaksa menanggung kos bulanan operasi atau penerbitan yang semakin meningkat dan tidak dapat disiapkan sepenuhnya.
“Terlebih dahulu bagi pihak industri perfileman tempatan PFM mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang sudah memberi kebenaran untuk melaksanakan aktiviti penggambaran dalam studio sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
“Dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) baru yang tiada kompromi oleh mana-mana syarikat produksi seperti wajib memohon kelulusan Sijil Perakuan Penggambaran Filem (SPP) Khas sebelum melaksanakan aktiviti penggambaran, pemantauan berkala yang dilakukan oleh pihak penguat kuasa Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas) di lokasi penggambaran dan ujian saringan Covid-19 perlu dilakukan bagi semua tenaga produksi yang terbabit.
“Bukan itu saja, lebih 50,000 penggiat seni dalam pelbagai bidang industri kreatif bekerja sebagai ‘freelancer’ seperti pengarah, pelakon, pekerja belakang tabir dan lain-lain turut sengsara untuk meneruskan kehidupan seharian.
Mereka tidak dapat bayaran kerana kebanyakan penggambaran produksi tempatan membabitkan lokasi di luar studio tertangguh atau tidak dapat disempurnakan,” katanya.
Dalam masa sama, Pansha turut merayu pembukaan panggung wayang bagi membolehkan lebih 50 filem tempatan dapat ditayangkan.
“Lebih 50 filem tempatan tidak dapat ditayangkan di pawagam sejak pelaksanaan PKP dan penerbit filem terpaksa menanggung kerugian dalam pelaburan yang amat besar tanpa bantuan daripada kerajaan.
“Sekali lagi PFM merayu supaya pawagam juga dibenarkan untuk beroperasi semula dengan 50 peratus kapasiti tempat duduk bagi setiap dewan merujuk kepada SOP yang diluluskan sebelum ini. “Keseimbangan dalam mengatasi pandemik Covid-19 dan menjana aktiviti ekonomi sangat penting dalam kelangsungan untuk hidup.
Sebagai persatuan yang mewakili dalam kalangan syarikat produksi filem dan televisyen tempatan, kami merayu agar pertimbangan yang sewajarnya dapat diberi seperti industri lain yang sudah mendapat kebenaran untuk melaksanakan aktiviti perniagaan yang bersesuaian dan perlu mematuhi SOP seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
MKN sebelum ini membenarkan enam aktiviti pembangunan kandungan kreatif dalam sektor industri kreatif beroperasi iaitu produksi animasi dan muzik, pasca-produksi di studio, pembangunan muzik secara digital, rakaman lagu di studio, pra-produksi penggambaran dan penggambaran di studio.
Aktiviti penggambaran di studio merangkumi drama, telefilem, iklan, dokumentari, sitkom, penstriman secara langsung, rakaman kebudayaan, seni dan warisan tanpa penonton.
Sementara itu, dalam laporan lain SOP untuk penggambaran di luar (outdoor) sedang diperincikan dan akan dibentangkan kerajaan dalam masa terdekat ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya juga sedang memperincikan SOP penganjuran acara langsung dan tayangan di pawagam.
Sehingga kini, masih belum ada keputusan berkenaan perkara itu.
Kreadit : Harian Metro