KUALA LUMPUR: Pekerja industri kreatif termasuk kru dan artis menantikan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sebagai langkah melindungi diri, keluarga dan insan tersayang daripada COVID-19.

Ketibaan vaksin Pfizer-BioNTech di Malaysia, Ahad lalu, dianggap memberi sinar baharu dalam perjuangan negara menentang dan melandaikan virus berbahaya itu.

Penggiat industri kreatif yang sejak tahun lalu menerima impak penularan COVID-19 hingga menjejaskan mata pencarian, malah, ada sesetengah sektor seperti pawagam lumpuh, menaruh harapan besar agar program imunisasi memberi kesan positif.

Artis terutama mereka yang dalam kategori berisiko tinggi dan berusia tetapi masih aktif, amat berharap mendapat suntikan vaksin sebagai ‘senjata’ untuk melawan COVID-19 ketika aktif di lapangan.DISYORKAN UNTUK ANDA

Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave, berkata pihaknya akan membantu menghebahkan urusan pendaftaran suntikan vaksin di laman sosial agar penggiat seni khususnya warga emas tidak terlepas peluang.

“Setakat ini, kita belum ada perancangan khusus bagaimana hendak membantu artis veteran mendapatkan vaksin. Saya difahamkan sesiapa yang mahu mendapatkan vaksin perlu membuat pendaftaran dalam talian.

“Namun, yayasan boleh mengemaskini maklumat di laman sosial mengenai suntikan vaksin. Ini penting supaya penggiat seni tidak terlepas pandang terutama mereka yang berada dalam kategori warga emas di mana risiko untuk dijangkiti sangat tinggi,” katanya kepada BH Online.

Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave akan membantu menghebahkan urusan pendaftaran suntikan vaksin agar penggiat seni khususnya warga emas tidak terlepas peluang.
Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave akan membantu menghebahkan urusan pendaftaran suntikan vaksin agar penggiat seni khususnya warga emas tidak terlepas peluang.

Pelakon, Azhan Rani juga tidak menolak vaksin sekiranya ia boleh memberi kebaikan. Malah, Azhan menyambut baik program imunisasi kerana mengaku sudah tidak sanggup lagi hidup dalam normal baharu.

Tambahan pula, ibunya, Salmah Budin yang berusia 74 tahun, menjadi antara kumpulan berisiko tinggi dijangkiti wabak berkenaan.

“Saya yakin semua orang rindu kehidupan normal seperti duhulu. Kita sudah menghadap ‘benda’ ini lebih setahun, semua orang perlu pulihkan kembali semangat dan emosi.

“Sekiranya vaksin itu baik untuk kita, kenapa hendak menolaknya. Saya bersyukur kami sekeluarga terhindar daripada COVID-19. Namun, bagi saya, kena atau tidak, sama sahaja kerana kita tidak bebas bergerak macam dulu,” katanya.

Azhan mengaku terpaksa mengubah gaya hidup kerana risaukan keselamatan diri terutama ibu.

“Hendak pergi bercuti pun terpaksa dalam keadaan waspada. Saya elak pergi ke tempat tarikan ramai seperti pulau peranginan kerana bimbangkan ibu yang sudah berusia.

“Mahu keluar bekerja pun sukar. Apabila sibuk di lokasi, penggambaran tiba-tiba dihentikan. Sedangkan kami bekerja untuk menampung keluarga. Jadi, saya harap, pemberian vaksin ini dapat memberi sinar kehidupan baharu kepada kita semua,” katanya.

Marsha Milan Londoh sudah hampir setahun tidak bertemu ibu bapa di Sabah berharap suntikan vaksin diberi secepat mungkin kepada warga emas.
Marsha Milan Londoh sudah hampir setahun tidak bertemu ibu bapa di Sabah berharap suntikan vaksin diberi secepat mungkin kepada warga emas.

Bagi penyanyi berasal dari Tamparuli, Sabah, Marsha Milan Londoh yang sudah hampir setahun tidak bertemu ibu bapa yang menetap di Negeri Bawah Bayu itu, berharap suntikan vaksin diberi secepat mungkin terutama kepada warga emas.

“Saya insan paling gembira apabila mendapat tahu warga emas bakal didahulukan dalam pemberian vaksin.

“Saya sudah tidak sabar lagi hendak berjumpa kedua-dua orang tua. Sudah hampir setahun saya tidak pulang ke Sabah sejak wabak COVID-19 menular,” katanya.

Marsha mengaku risaukan kesihatan ibu bapa yang sudah berusia, apatah lagi, adik-beradik tinggal berjauhan.

“Jadi, saya berharap sangat pemberian vaksin dapat disegerakan agar kami sekeluarga dapat kembali bersatu,” katanya.

Fizo Omar yang pernah melalui pengalaman perit apabila anak tunggalnya, Wan Maryam disahkan positif COVID-19 menantikan ketibaan vaksin.
Fizo Omar yang pernah melalui pengalaman perit apabila anak tunggalnya, Wan Maryam disahkan positif COVID-19 menantikan ketibaan vaksin.

Bagi pelakon, Fizo Omar yang pernah melalui pengalaman perit apabila anak tunggal tersayang berusia empat tahun, Wan Maryam disahkan positif COVID-19, bulan lalu, ketibaan vaksin cukup dinantikan. Apatah lagi, ibu Fizo dalam kategori warga emas dan menghidap penyakit.

Fizo berharap rakyat yang masih meragui keselamatan vaksin dapat mengetepikan kepercayaan karut mendakwa suntikan imunisasi tidak bagus, tidak halal dan sebagainya.

“Kerajaan bersusah payah mengambil inisiatif membawa masuk vaksin secepat mungkin semata-mata untuk melindungi kita dan dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

“Jadi, saya berharap agar mereka yang meragui keselamatan vaksin dapat mengetepikan kepercayaan karut bahawa vaksin tidak bagus.

“Fakta itu disebarkan mereka yang tidak bertanggungjawab. Kita bukan pakar atau ahli sains.

“Selagi diluluskan kerajaan dan pihak pentadbir agama, itu bermakna, bahan terbabit selamat. Jadi, tidak salah untuk kita terima vaksin demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa mulai hari ini dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan membabitkan 500,000 orang.

Fasa 2 dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya membabitkan 9.4 juta orang.

Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas – warga negara dan bukan warga negara dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *