KUALA LUMPUR: Sekalipun dilihat sibuk di pentas lakonan, Andi Bernadee tak pernah melupakan minat utamanya dalam dunia nyanyian.

Selepas muncul dengan single Penat, September tahun lalu, Andi melancarkan single baharu berjudul Kais Pagi Kais Petang, kelmarin.

Single ciptaannya bersama komposer MFMF dan Nasir Deraman itu cuba menyelami keluh kesah rakyat marhaen dalam cabaran mencari rezeki.

Karya itu mengambil inspirasi dari peribahasa Melayu berbunyi kais pagi makan pagi, kais petang makan petang yang membawa bermaksud orang susah yang perlu bekerja setiap hari. Jika tidak bekerja, tiadalah pendapatan.DISYORKAN UNTUK ANDA

Isu yang cuba diangkat dalam single itu seakan tepat pada masanya apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dikuat kuasa pada 13 Januari lalu yang sedikit sebanyak mengakibatkan pendapatan golongan peniaga kecil, rencam, seni dan ramai lagi terjejas.

“Memang sukar mencari rezeki pada waktu sekarang, apatah ketika pandemik COVID-19 menyerang seluruh negara. Ia menjadi isu yang mungkin saya, keluarga atau rakan sedang lalui. Kerja kuat setiap hari, buat bermacam-macam jenis kerja, tetapi pendapatan hanya cukup makan sahaja.

“Ada yang hidup sentiasa berdepan kesukaran untuk memenuhi keperluan atau kehabisan wang sebelum akhir bulan. Lagi pula, zaman ekonomi meleset akibat pandemik COVID-19.

“Apabila pelaksanaan PKP 2.0 pastinya ada antara kita yang rasa tertekan dengan masalah kewangan dihadapi. Saya amat memahami kesukaran ini termasuk rakan dalam industri kreatif yang kehilangan sumber pendapatan,” katanya kepada BH Online.

Andi Bernadee bergandingan dengan Janna Nick dalam drama Melastik Ke Hatimu yang disiarkan menerusi slot Lestary di TV3. - Foto IG Andi Bernadee
Andi Bernadee bergandingan dengan Janna Nick dalam drama Melastik Ke Hatimu yang disiarkan menerusi slot Lestary di TV3. – Foto IG Andi Bernadee

Pelakon drama Melastik Ke Hatimu bergandingan dengan Janna Nick itu berkata, dia berharap single Kais Pagi Kais Petang dapat memberi suntikan semangat buat mereka yang terjejas ketika berdepan dengan COVID-19.

“Dalam berhibur dalam apa bentuk sekalipun, mesej yang diselit diharap dapat membakar semangat. Kita kena kuat melalui ujian ini,” katanya.

Single Kais Pagi Kais Petang, terbitan Warner Music sudah boleh distrim di semua platform digital terpilih.

Andi yang sudah lebih lima tahun menceburi dunia nyanyian terlebih dahulu meledak menerusi lagu seperti Satu Peluang, Donde dan Shimmy.

Kredit: Berita harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *